“Castles and Carriages” Single Pertama Valerayy Dalam EP Castles
- oleh Mohd Indera
- 29 Jul 2025 12:30 pm

Penyanyi dan penulis lagu baharu dari Malaysia, Valerayy, membuka langkah pertamanya dalam dunia muzik dengan pelancaran single sulung berjudul “Castles and Carriages”, yang menjadi lagu pembuka kepada EP pertamanya, Castles.
Lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 25 Julai 2025 di semua platform penstriman utama.
Valerayy, atau nama sebenarnya Rachel V. Anthony, tampil dengan gaya muzik yang intim dan penuh penghayatan, menjadikan “Castles and Carriages” sebagai pengenalan kepada tema dan emosi yang mendasari keseluruhan EP Castles.
Dikenali dengan vokal lembut dan lirik jujur, Valerayy membawa pendengar menyelami sisi peribadinya yang rapuh dan penuh refleksi.
“Lagu ini sangat peribadi bagi saya. Ia mencerminkan rasa sunyi, keraguan, dan keinginan untuk melepaskan kesakitan yang dipendam. Saya mahu lagu ini menjadi permulaan kepada ruang perkongsian yang lebih jujur dan terbuka,” ujar Valerayy.
Meskipun judul “Castles and Carriages” menggambarkan elemen dongeng dan keindahan fantasi, kandungannya membawa mesej yang lebih mendalam, membongkar realiti pahit di sebalik harapan yang tidak kesampaian.
“Saya rasa seperti tertipu dengan dongeng tentang cinta sempurna. Lagu ini cuba menyampaikan bagaimana sesuatu yang kelihatan indah di luar boleh menyembunyikan luka di dalam,” jelasnya.
EP Castles merupakan sebuah projek katartik yang terhasil selepas Valerayy mengalami kebuntuan menulis selama hampir setahun. Dorongan daripada A&R dan penerbit eksekutifnya, Hayze, menyemarakkan semula semangatnya untuk berkarya.
Dalam tempoh sebulan, lahirlah lima buah lagu yang membentuk EP tersebut, setiap satunya menggambarkan babak-babak emosi yang berbeza dalam kehidupan Valerayy.
“EP ini seperti helaian diari saya yang akhirnya saya berani kongsi. Saya harap orang yang mendengar akan rasa difahami dan tahu bahawa mereka tidak keseorangan,” katanya.
Valerayy turut menyifatkan Castles sebagai ruang ‘sleepover’ besar, metafora kepada suasana mesra dan terbuka di mana emosi boleh diluahkan tanpa takut dihakimi.
“Biasanya saya luah semua pada kawan-kawan rapat masa bermalam bersama dan saya harap EP ini pun beri perasaan yang sama kepada mereka yang mendengar.” katanya.
Dengan “Castles and Carriages” sebagai pembuka tirai, Valerayy memperkenalkan dirinya sebagai suara baharu yang tulus dan berani. EP Castles dijangka membawa nuansa pop emosional yang mampu merentasi sempadan perasaan dan generasi.
“Castles and Carriages” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital. Jangan lepaskan peluang untuk menyelami dunia muzik Valerayy yang penuh dengan rasa, cerita dan kejujuran.