Ikuti Kami:

Cakra Khan, Noh Salleh Antara Kejutan Konsert Legacy 30, Siti Janji Persembahan ‘Luar Biasa’

Cakra Khan, Noh Salleh Antara Kejutan Konsert Legacy 30, Siti Janji Persembahan ‘Luar Biasa’

Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, bakal menampilkan barisan artis ternama termasuk bintang Indonesia, Cakra Khan dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, sebagai artis undangan bagi memeriahkan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026.

Selain Cakra dan Noh, konsert berskala mega di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu turut mempersembahkan kolaborasi istimewa bersama penyanyi vokal mantap, Hafiz Suip serta bakat muda yang juga merupakan anak saudara beliau, Umairah.

Menurut Siti, kehadiran barisan artis undangan ini bukan sekadar pelengkap acara, sebaliknya menjadi sebahagian daripada elemen kejutan bagi meraikan tiga dekad perjalanan seninya dalam industri hiburan tanah air.

“Konsert ini adalah hadiah dari hati saya buat para peminat, rakan industri serta semua yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni saya selama 30 tahun.

“Legacy 30 Siti Nurhaliza bukan tentang saya semata-mata, tetapi tentang kita semua yang bersama-sama membina, menghargai dan mempertahankan seni serta budaya,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur Tower, hari ini.

Siti berkata, persiapan konsert yang diadakan sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-47 itu kini berada pada tahap optimum.

Mengulas mengenai pengisian konsert, penyanyi lagu Anta Permana itu menjanjikan pengalaman ‘luar biasa’ menerusi empat segmen berbeza yang akan memperlihatkan beliau menggayakan persalinan daripada empat pereka fesyen tersohor.

“Malam itu nanti, saya akan mengenakan perhiasan barang kemas daripada HABIB. Saya juga akan membawakan rangkaian lagu asal dengan susunan muzik segar daripada pengarah muzik, Aubrey Suwito, selain beberapa lagu daripada album terbaharu, Gema Bumantara,” jelasnya.

Menyentuh mengenai persembahan, Siti menegaskan beliau lebih selesa menjadi diri sendiri dan fokus kepada kualiti yang ingin disampaikan kepada peminat.

“Setiap artis ada kelebihan dan cara masing-masing. Bagi saya, saya ada muzik tradisional, balada dan pop. Saya suka persembahan yang ada elemen tarian dan kejutan kerana itulah ‘trademark’ Siti Nurhaliza yang peminat nantikan,” tambahnya lagi.

Konsert Legacy 30 anjuran SN Legacy Sdn Bhd dan Radar Rezki (M) Sdn Bhd itu mendapat sokongan penuh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Tiket konsert dilaporkan hampir habis terjual dengan hanya berbaki beberapa ratus unit bagi kategori VIP, sekali gus membuktikan pengaruh besar penyanyi nombor satu negara itu yang dijangka bakal menghimpunkan 60,000 penonton.

Komen
Loading...