Cakra Khan Kembali Gegarkan Kuala Lumpur Menerusi Divine Concert
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Penyanyi tersohor Indonesia, Cakra Khan bakal mengubati rindu peminat Malaysia menerusi konsert solo eksklusif bertajuk Divine Concert – Cakra Khan yang akan berlangsung pada 2 Ogos 2025 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi simbol kepada perjalanan seni luar biasa Cakra Khan selepas lebih sedekad berkarya.
Album keduanya, Divine, yang diperkenalkan pada 2024 menjadi inspirasi utama penganjuran konsert ini.
“Divine membawa makna hebat, luar biasa dan agung. Maka konsert ini akan menampilkan gabungan magis vokal Cakra Khan dengan susunan muzik yang bakal membawa peminat menyelusuri emosi, dari lagu-lagu terbaharu sehingga karya malar segar yang mengangkat namanya di mata dunia,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
Cakra Khan yang kini berusia 33 tahun turut menyatakan keterujaannya untuk kembali ke pentas Malaysia dan bertemu peminat secara langsung.
“Apa yang pasti, kalian akan menikmati Divine Concert – Cakra Khan seperti mana saya selalu menikmati apresiasi anda semua terhadap saya,” katanya.
Menambah keistimewaan konsert ini, Divine Concert – Cakra Khan turut menampilkan barisan artis undangan ternama dari Malaysia dan Indonesia.
Antara yang bakal memeriahkan pentas bersama Cakra Khan ialah diva legenda Indonesia, Titi DJ penyanyi bersuara lunak, Marsha Milan, Ade Govinda, Ernie Zakri, Faizal Lubis serta kumpulan harmoni Trio XL.
Peminat bakal disajikan dengan deretan lagu popular seperti Kepada Hati, Salah Tapi Baik, Mencari Cinta Sejati, Kekasih Bayangan serta seleksi daripada album baharu yang bakal dipersembahkan dengan sentuhan muzik dan vokal penuh jiwa.
Tiket konsert kini boleh dibeli menerusi laman rasmi www.myticket.asia dengan harga bermula dari RM225 hingga RM1,295. Beberapa kategori tiket telah habis dijual, membuktikan keterujaan peminat terhadap konsert ini yang dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini.
Konsert ini dianjurkan dengan kerjasama MyMusic Records, B.A.Z dan INCORPGURU serta disokong oleh Hot FM, Kool 101, TV3, TV9, Harian Metro, SAYS, OHBULAN dan BigTree sebagai rakan media rasmi.