
Penyanyi bersuara serak yang begitu ikonik, Cakra Khan, bakal menghiburkan peminat setianya menerusi konsert solo yang dinanti-nantikan – Divine Concert.
Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah pengalaman istimewa yang membawa peminat menyelami perjalanan seni luar biasa penyanyi berusia 36 tahun ini.
Menggunakan nama Divine, konsert ini selari dengan pelancaran album keduanya pada tahun 2024 yang turut mendapat sambutan hangat.
Konsert solo ini akan berlangsung di dua lokasi utama – The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai 2025 dan Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 2 Ogos 2025.
Penganjur Shiraz Projects menegaskan bahawa Divine Concert bukan sekadar persembahan pentas, tetapi satu penghormatan kepada perjalanan panjang Cakra Khan dalam industri muzik.
“Selepas 11 tahun, akhirnya Cakra Khan melahirkan album kedua, Divine. Konsert ini adalah cara terbaik untuk meraikan pencapaian ini bersama peminatnya yang setia sejak awal kerjaya beliau,” kata Shirazdeen Karim, Pengarah Urusan Shiraz Projects.
Cakra Khan, yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Mencari Cinta Sejati, Kekasih Bayangan, dan Salah Tapi Baik, bukan sahaja akan membawakan lagu-lagu dari album terbarunya, tetapi juga membangkitkan nostalgia dengan hits terdahulunya.
Menurut Shirazdeen, penganjuran konsert di dua negara ini didorong oleh permintaan tinggi peminat.
“Kami melihat betapa besarnya keinginan peminat untuk menyaksikan Cakra Khan dalam konsert solo. Maka, kami memilih dua lokasi yang strategik – Singapura dan Malaysia,” tambahnya.
Bagi peminat di Malaysia, konsert ini bakal menjadi satu peristiwa yang tidak boleh dilepaskan.
Plenary Hall, KLCC akan menjadi saksi kepada kehebatan vokal Cakra Khan dalam suasana yang lebih intim dan eksklusif.
Peminat yang ingin menyaksikan Divine Concert – Cakra Khan boleh mendapatkan tiket mereka mulai 12 Februari 2025, bermula jam 10 pagi.
Harga tiket untuk konsert di Kuala Lumpur adalah seperti berikut:
– RM1,295 – Meet & Greet
– RM795 – Diamond
– RM695 – Platinum
– RM455 – Gold
– RM255 – Silver
– RM225 – Bronze
Tiket boleh didapati di www.myticket.asia, manakala peminat di Singapura boleh mendapatkannya melalui www.sistic.com.sg.
Cakra Khan turut memberikan pesanan ringkas kepada peminatnya,
“Saya mahu kalian merasakan keajaiban Divine Concert seperti mana saya selalu menghargai setiap apresiasi yang anda berikan kepada saya.”
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri magis Divine Concert – Cakra Khan pada 2 Ogos 2025 di Plenary Hall, KLCC.
Dapatkan tiket anda segera dan bersedia untuk satu malam yang penuh emosi dan keindahan muzik!