Cahaya Biru Menara KL Raikan Semangat Perpaduan Rakyat Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 11 Jul 2025 7:41 am

Menara Kuala Lumpur akan disinari dengan cahaya lampu biru pada 18 dan 19 Julai ini sebagai lambang perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia bersempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025.
Penyinaran warna biru pada mercu tanda ikonik negara itu bukan sahaja mencuri perhatian warga kota, malah membawa mesej mendalam mengenai pentingnya semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif simbolik itu mencerminkan usaha berterusan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam menyemarakkan semangat perpaduan nasional.
“Simbolik cahaya berwarna biru di Menara Kuala Lumpur menandakan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia. Kami amat menghargai sokongan Menara Kuala Lumpur sebagai rakan strategik dalam menjayakan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan tahun ini,” katanya.
Menara Kuala Lumpur yang menjadi antara mercu tanda paling menonjol di ibu negara, sekali lagi tampil memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kebangsaan melalui pencahayaan simbolik tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd selaku pengendali Menara Kuala Lumpur, Khairil Faizal Othman berkata, pihaknya berbesar hati menyokong inisiatif yang mampu menyatupadukan rakyat.
“Dengan menerangi Menara KL, kami ingin menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa perpaduan bukan sekadar slogan – ia tanggungjawab bersama yang harus dipupuk dan dikekalkan,” katanya.
Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan merupakan acara tahunan KPN yang bertujuan memperkukuh pemahaman terhadap nilai perpaduan dan kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
Tahun ini, sambutan akan berlangsung dari 17 hingga 20 Julai 2025 di Pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dengan pelbagai program dan pengisian yang berteraskan keharmonian dan integrasi nasional.