Ikuti Kami:

Bunkface, Pamungkas, Bittersweet Antara 24 Artis Gegarkan Latihan Pestapora Malaysia 2025

Bunkface, Pamungkas, Bittersweet Antara 24 Artis Gegarkan Latihan Pestapora Malaysia 2025

Barisan 24 artis gempak dari Malaysia dan Indonesia bakal menggamatkan pentas Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025, di mana nama-nama seperti Bunkface, Pamungkas dan Bittersweet menjadi antara tarikan utama festival tersebut.

Dalam sidang media khas yang diadakan di The Campus, Ampang hari ini, penganjur dari Malaysia, Hitman Solutions, bersama rakan kongsi dari Indonesia, Boss Creator, mengumumkan senarai artis fasa pertama yang bakal membuat persembahan dalam festival serumpun ini.

Turut diumumkan sebagai sebahagian daripada barisan pengisi acara ialah nama-nama besar dari Indonesia seperti .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas, manakala artis tanah air pula terdiri daripada Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.

Festival ini bakal menghimpunkan pelbagai genre muzik seperti rock, indie, pop, alternatif dan hip-hop dalam satu pentas yang menjanjikan pengalaman penuh warna dan tenaga buat pengunjung.

Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, sambutan awal terhadap acara ini amat memberangsangkan.

“Lebih 2,000 tiket terjual walaupun sebelum kami umumkan barisan artis, membuktikan kepercayaan tinggi peminat terhadap jenama Pestapora,” katanya.


Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group (kanan) bersama Kiki Ucup, Pengarah Festival dan Pengasas Bersama Boss Creator (kiri) di sidang media khas Latihan Pestapora Malaysia 2025.

Kiki Ucup, Pengarah Festival dan Pengasas Bersama Boss Creator pula menyifatkan penganjuran di Malaysia sebagai langkah penting untuk memperluas jaringan seni antara dua negara.

“Kami mahu Latihan Pestapora menjadi pentas untuk memperkenalkan bakat tempatan kedua-dua negara dan mewujudkan hubungan budaya yang lebih kukuh,” katanya.

Latihan Pestapora juga menjadi peluang kepada mereka yang belum pernah menghadiri acara utama Pestapora di Jakarta untuk merasai pengalaman yang hampir serupa, dalam suasana lokal yang lebih dekat dan mudah diakses.

Harga tiket bermula serendah RM129 bagi kemasukan biasa, manakala tiket Rockzone bermula RM199, dengan akses tambahan Express Lane ditawarkan pada kadar tambahan RM100. Tiket untuk kanak-kanak pula dijual pada harga RM70.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket di laman rasmi: www.latihanpestaporamalaysia.com

Dengan penglibatan pelbagai rakan strategik seperti ERA, HITZ, SINAR, SYOK, Batik Air, BookCabin, Universal Music Malaysia dan Tapao Fest, Latihan Pestapora Malaysia 2025 dilihat bakal menjadi antara festival muzik terbesar dan paling dinanti tahun ini.

Komen
Loading...