Bunga Tampil dengan Single Sebulan Raya, Hasil Sentuhan Edry Abdul Halim
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Penyanyi rap popular, Bunga, tampil dengan single raya pertamanya berjudul Sebulan Raya, hasil ciptaan komposer terkenal Edry Abdul Halim. Lagu ini merupakan buah tangan istimewa buat peminat sempena Aidilfitri dan diterbitkan oleh Warner Music Malaysia.
Bunga mengakui keterujaannya dapat bekerjasama dengan Edry, yang sudah lama dikenali sebagai antara komposer hebat dalam industri muzik tempatan.
“Bekerjasama dengan abang Edry adalah satu penghormatan besar buat saya. Beliau memberikan kebebasan kepada saya untuk terlibat dalam proses kreatif lagu ini, termasuk dalam pemilihan melodi dan lirik,” kata Bunga.
Menurutnya, inspirasi lagu ini bermula ketika dia menghadiri acara Muzikal Lawak Superstar tahun lalu, di mana lagu Magika diperdengarkan. Terimbau kenangan zaman kecilnya, Bunga terus mendapatkan Edry untuk menghasilkan sebuah lagu raya dengan suasana yang serupa.
Lagu yang membawa elemen kegembiraan dan kemeriahan Syawal ini juga hadir dengan video muzik (MV) yang menjalani penggambaran di Sekinchan, Kuala Selangor.
Bunga berkongsi bahawa dia memberikan beberapa idea kreatif yang direalisasikan oleh pasukan produksi untuk membawa elemen kekeluargaan dan keceriaan dalam MV tersebut.
“Saya ingin memastikan MV ini memberikan rasa kemeriahan Aidilfitri, dan pastinya ada kejutan untuk peminat,” tambahnya.
Single Sebulan Raya kini boleh didengarkan di semua platform digital mulai 28 Februari, manakala MV rasmi boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Warner Music Malaysia.