Bunga Lancar Album Sulung Seharum Nama, ‘Tak Tidur Malam’ Jadi Pertaruhan
- oleh Mohd Indera
- 8 Aug 2025 12:43 pm

Penyanyi rap dan penulis lirik berbakat, Bunga, melakar sejarah baharu dalam kerjaya seninya dengan pelancaran album sulung berjudul Seharum Nama – Bunga yang akan menemui pendengar di semua platform digital mulai 8 Ogos 2025.
Album yang memuatkan 10 buah lagu ini menjadi simbol kematangan Bunga dalam berkarya sejak memulakan perjalanan muziknya pada 2019.
Pelancaran ini turut disertai dengan single terbaharu berjudul Tak Tidur Malam, yang dijadikan taruhan utama bagi memperkenalkan album tersebut kepada khalayak.
“Alhamdulillah, akhirnya penantian dan kerja keras saya serta pasukan membuahkan hasil. Seharum Nama – Bunga adalah manifestasi perasaan, perjalanan dan jiwa saya dalam muzik. Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pendengar,” katanya pada sidang media pelancaran di TGV Suria KLCC semalam.
Lagu Tak Tidur Malam, ciptaan Amzar Razqa, Bunga, dan Amsyar Razqa, melalui proses pra-produksi yang panjang termasuk tiga kali kerja mixing dan mastering. Bermula dengan inspirasi dangdut, lagu itu akhirnya diolah semula dengan vibe spooky bagi memberi sentuhan unik dan segar kepada pendengar.
Selain Tak Tidur Malam, album ini turut memuatkan Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (feat. Noraniza Idris), Apadehal (2025 Mix), Jiwa Raga, ME[MAHA]MI, Nak Buat Cane? dan Jalan Keluar.
Menurut Bunga, setiap lagu dipilih hasil perbincangan bersama pihak pengurusan bagi memastikan kesesuaian dengan konsep album.
Bunga yang mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan album ini mengakui bahawa keberaniannya bereksperimen dalam muzik telah memperkayakan pengalamannya.
Beberapa lagu turut diiringi video muzik seperti ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam dan Dengarkanlah, yang dihasilkan dalam bentuk filem pendek dengan jalan cerita tersendiri.
Sebagai simbolik pelancaran, Bunga turut memperkenalkan edisi khas piring hitam Seharum Nama – Bunga serta barangan merchandise hasil kolaborasi dengan jenama High Cultured.
Majlis pelancaran turut mendapat sokongan TGV Suria KLCC selaku penganjur bersama, menjadikan hari bersejarah itu lebih bermakna buat penyanyi tersebut.