Ikuti Kami:

Bunga Dedahkan Sudah Berkahwin dengan Vokalis Razqa, Amzar Sabri Secara Tertutup

Bunga Dedahkan Sudah Berkahwin dengan Vokalis Razqa, Amzar Sabri Secara Tertutup

Penyanyi rap, Bunga mengejutkan peminat apabila mendedahkan bahawa dia telah berkahwin dengan Amzar Sabri, vokalis kumpulan Razqa, tanpa sebarang liputan media atau pengetahuan umum.

Dengan penuh kesyukuran, Bunga berkongsi bahawa segala urusan perkahwinan mereka dipermudahkan. Kedua-dua mereka sepakat untuk tidak menghebahkan majlis tersebut, sebagai menghormati permintaan keluarga.

“Saya tak pernah sangka akan berkahwin awal, tapi jodoh datang lebih cepat dari yang dijangka. Kami akur dengan permintaan keluarga untuk menjaga perkahwinan ini dengan cara yang lebih peribadi,” ujar Bunga.

Dia turut berkongsi bahawa perkahwinan mereka diadakan tahun lalu secara kecil-kecilan dengan hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat rapat.

“Alhamdulillah, kami selamat berkahwin tahun lepas. Kami tidak merancang untuk hebahkan, hanya mengikut kehendak keluarga untuk menjaga perkara ini secara sederhana,” tambahnya.

Ketika ditanya tentang kehidupan selepas berkahwin, Bunga mengakui tidak banyak yang berubah dalam kehidupannya, memandangkan dia dan Amzar sudah lama bersahabat sebelum berkahwin.

“Kehidupan selepas berkahwinan masih normal. Kami sudah lama berkawan, jadi rasa lebih tenang. Malah, keluarga kami juga merasakan sudah tiba masanya untuk kami bernikah setelah lama mengenali,” jelasnya.

Mengenai keputusan untuk tidak terlalu menonjolkan perkahwinan mereka, Bunga menegaskan bahawa ia bukanlah kerana ingin menyembunyikan, tetapi lebih kepada menjaga privasi dan mengelakkan kontroversi.

“Bukan tak nak beritahu, cuma kami cuba elakkan perkara yang tidak diingini. Sehingga kini, kami hanya berkongsi gambar di media sosial secara tidak langsung,” katanya.

Tentang masa depan dan soal memiliki anak, Bunga berkata mereka tidak menolak jika diberikan rezeki, namun buat masa ini, keutamaan mereka adalah kepada kerjaya masing-masing.

“Keutamaan kami sekarang adalah kejayaan dalam kerjaya. Namun, kalau rezeki anak datang awal, kami terima dengan hati terbuka,” ujarnya.

Bunga ditemui media dalam satu sidang media semasa Majlis Pelancaran Warner Music Festival yang berlangsung di Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada hari Selasa.

Festival ini dianjurkan untuk meraikan pelbagai bakat seni tempatan yang bernaung di bawah label Warner Music, dengan Bunga menjadi salah seorang artis utama yang akan membuat persembahan.

Komen
Loading...