Bunga Citra Lestari Kembali dengan Konsert ‘Eternal Love – Timeless Romance’ pada 27 September Ini
- oleh Mohd Indera
- 24 jam lalu

Penyanyi terkenal dari Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), akan kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert terbarunya bertajuk BCL: Eternal Love – Timeless Romance yang akan berlangsung pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Konsert ini dianjurkan oleh Pulse Project Asia dan akan membawa penonton menyusuri perjalanan muzik BCL yang penuh dengan lagu cinta yang menyentuh hati.
Antara lagu popular yang akan dipersembahkan termasuk Cinta Sejati, Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah dan lagu terbaharu, Memulai Kembali.
Menurut wakil Pulse Project Asia, Muhammad Anuar Zaini, konsert ini sangat istimewa kerana ia membolehkan peminat merasai suasana yang lebih dekat dan peribadi bersama BCL.
“Malaysia bukan tempat asing buat BCL. Setiap kali beliau datang, peminat di sini sentiasa menyambutnya dengan hangat. Konsert ini seperti kepulangan beliau ke rumah kedua,” katanya.
Tiket konsert boleh dibeli secara dalam talian di Ticket2U bermula hari ini, 6 Jun 2025, jam 3 petang. Harga tiket bermula daripada RM288. Untuk pembelian awal (pre-sale), harga ditawarkan pada RM259. Terdapat juga diskaun 10% untuk pembelian pada hari pelancaran.
Selain itu, 300 pembeli terawal akan menerima Pas Soundcheck Eksklusif yang membolehkan mereka menyaksikan sesi latihan BCL sebelum konsert bermula.
Untuk peminat yang ingin pengalaman lebih istimewa, boleh memilih tiket Cinta Abadi (kategori eksklusif). Pemegang tiket ini akan mendapat sesi Meet & Greet peribadi bersama BCL, sesi bergambar dan barangan khas yang ditandatangani sendiri oleh BCL.
Peminat dinasihatkan supaya hanya membeli tiket melalui laman rasmi Ticket2U bagi mengelakkan penipuan dan memastikan tempat duduk yang sah.
Konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini, dan menjanjikan malam yang penuh kenangan dan kasih sayang buat semua peminat.