Bunga Api 360 Darjah Tarikan Utama Ambang Merdeka di Menara Kuala Lumpur
- oleh Mohd Indera
- 12 Aug 2025 8:54 pm

Persembahan bunga api 360 darjah di Menara Kuala Lumpur (KL Tower) dijangka menjadi tarikan utama sambutan Malam Ambang Merdeka 2025, sekali gus menghidupkan suasana menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pertunjukan istimewa ini bakal berlangsung pada malam 30 Ogos, dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam, menampilkan letusan bunga api dari pelbagai arah yang dapat dinikmati dari setiap sudut ibu kota.
Keunikan format 360 darjah ini dijangka memukau ribuan pengunjung, baik warga tempatan mahupun pelancong antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Khairil Faizal Othman menegaskan, sambutan ini bukan sekadar meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68, tetapi juga memperkenalkan pengalaman baharu kepada pelawat.
“Sambutan Malam Ambang Merdeka tahun ini sangat istimewa dengan pertunjukan bunga api dari tiga lokasi pelancaran yang berbeza buat kali pertama dalam sejarah Kuala Lumpur Tower,”
“Ianya memberikan pengalaman pemandangan 360 darjah langit malam yang tiada tandingan pada tarikh istimewa ini. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kami berbangga untuk menampilkan yang terbaik kepada semua pengunjung Kuala Lumpur Tower.” katanya.
Gabungan hiburan dan promosi budaya ini bertujuan memperkukuh peranan KL Tower sebagai ikon pelancongan negara.
Bagi yang ingin menikmati persembahan dari pelbagai lokasi di KL Tower, harga tiket bermula daripada RM20 untuk Tower Terrace (RM10 bagi pemegang MyKad kategori warga emas atau OKU), RM35 untuk Observation Deck (RM25 bagi warga emas/OKU), dan RM65 untuk Sky Terrace (RM35 bagi warga emas/OKU).
Bagi pelancong antarabangsa, tiket berharga antara RM40 hingga RM175 mengikut lokasi dan kategori umur.
Selain persembahan bunga api, acara turut diserikan dengan konsert artis tempatan, pameran kebudayaan, jualan makanan tradisional dan kraf tangan.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian bermula 7 Ogos 2025, dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web rasmi www.kltower.com.