Ikuti Kami:

Bulan Bintang Next Chapter ‘Terrrrpaling Raya’ Tawar Hadiah RM500,000

Bulan Bintang Next Chapter ‘Terrrrpaling Raya’ Tawar Hadiah RM500,000

Sempena meraikan ulang tahun ke-11 dalam industri fesyen tanah air, jenama pakaian popular Bulan Bintang sekali lagi mencetuskan fenomena menerusi penganjuran pertunjukan fesyen Bulan Bintang Next Chapter yang berlangsung penuh gilang-gemilang di IOI Grand Exhibition Convention Centre, semalam.

Acara yang menjadi penanda aras baharu buat jenama itu turut menyaksikan pelancaran kempen “Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by AFFIN” untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan tawaran hadiah yang jauh lebih lumayan buat para pelanggan setianya.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, berkata kempen tahun ini merupakan manifestasi penghargaan syarikat kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong jenama itu sejak awal penubuhannya yang bermula secara kecil-kecilan.

“Sebagai tanda terima kasih, kami membawakan hadiah utama iaitu Affin Dream Box bernilai RM500,000 serta Duit Raya Affin Bank berjumlah RM400,000. Kerjasama luar biasa ini adalah sejarah dalam industri fesyen tempatan yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana jenama sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Selain ganjaran tunai, pemenang kempen turut berpeluang memenangi pakej haji, umrah dan pelancongan tajaan Tabung Haji Travel & Services, bekalan beg tangan setahun daripada Dr. Cardin, serta baucar minuman setahun daripada Tealive.

Pertunjukan fesyen Next Chapter mempamerkan koleksi ready-to-wear (RTW) buat seisi keluarga yang merangkumi baju melayu potongan Slim Fit, Tailored Fit, dan Traditional Fit.

Menariknya, koleksi kali ini tampil lebih inklusif dengan tawaran saiz sehingga 8XL bagi memastikan semua golongan dapat menggayakan rekaan Bulan Bintang.

“Tahun ini kami tampilkan 84 pilihan warna dengan penggunaan material kain yang lebih lembut, ringan, dan sejuk, sesuai untuk keselesaan sepanjang hari lebaran nanti,” tambah Azzim.

Pentas peragaan turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti ‘A-lister’ seperti Datuk Rosyam Nor, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, dan Zahiril Adzim.

Tidak ketinggalan, kemunculan semula Sharnaaz Ahmad sebagai duta rasmi bersama barisan wajah ikonik seperti Hannah Delisha, Ernie Zakri, dan Syamel.

Mengulas mengenai strategi pemasaran menggunakan pengaruh selebriti, Azzim menjelaskan bahawa pemilihan artis ternama adalah langkah strategik untuk menembusi pasaran yang lebih luas (market penetration) di samping mengekalkan imej premium jenama tersebut.

“Kita perlukan individu yang mempunyai pengikut yang ramai untuk menembusi pasaran. Namun pada masa sama, kualiti tetap menjadi keutamaan di mana kadar kecacatan (defective rate) produk kami hanyalah 0.2 peratus sahaja,” tegas beliau.

Bagi musim perayaan tahun ini, Bulan Bintang menyasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian melalui 15 butik rasmi di seluruh negara dan platform TikTok sebagai rakan kerjasama strategik.

Acara malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan Spider, Ernie Zakri, dan Syamel, selain pengumuman pemenang Bulan Bintang Next Top Model musim kedua yang melibatkan peserta awam berusia 40 hingga 70 tahun.

Komen
Loading...