Bukit Bintang Jadi Lokasi ‘Pemanas’ Konsert Solo Hafiz Suip
- oleh Mohd Indera
- 8 Sep 2025 1:30 pm

Suasana sibuk di Bukit Bintang menjadi saksi apabila penyanyi popular, Hafiz Suip, tampil mengadakan persembahan busking sebagai sebahagian daripada rangka promosi konsert solo sulungnya, Di Sebalik Aku yang bakal berlangsung pada 1 November ini di Megastar Arena.
Meskipun berdepan masalah kesihatan vokal sejak kebelakangan ini, Hafiz tetap berusaha memberikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir memberi sokongan.
Menurut juara Akademi Fantasia 7 itu, aksi busking berkenaan dianggap sebagai “pemanas badan” sebelum konsert sebenar.
“Bukit Bintang punya crowd memang tak pernah mengecewakan. Saya rasa teruja dan puas dapat menghiburkan orang ramai walaupun suara saya masih belum pulih sepenuhnya. Kalau suara betul-betul ada tadi, mungkin saya boleh nyanyi lebih banyak lagu,” katanya ketika ditemui selepas persembahan Khamis lalu.
Tambah Hafiz, kehadiran peminat yang tidak putus memberi sorakan telah meniup semangatnya untuk terus menyanyi, biarpun pada awalnya dia hampir berputus asa akibat masalah suara.
“Sejujurnya tadi saya dah rasa give up. Tapi bila tengok peminat yang datang, semangat tu tiba-tiba datang balik. Itu kuasa Tuhan. Saya hanya berusaha sedaya upaya dan selebihnya berserah,” ujarnya.
Mengulas mengenai kesihatannya, pemenang Vokal Terbaik AJL34 itu juga mengakui vokalnya terjejas akibat ‘overuse’ sepanjang bulan lalu dengan jadual padat termasuk persembahan di Jakarta dan Bintulu.
Namun, beliau berjanji akan menjaga rehat dan membuat pemeriksaan kesihatan demi memastikan persembahan konsert sulungnya berjalan lancar.
“Insya-Allah, saya akan beri komitmen penuh. Doa daripada semua peminat amat saya harapkan supaya konsert ini dapat berlangsung dengan baik,” katanya.
Konsert Di Sebalik Aku anjuran SAH Entertainment ini dijangka menampilkan rangkaian hits popular Hafiz sejak awal kariernya.
Tiket dijual serendah RM188 hingga RM788 di www.ticketmelon.com.