Ikuti Kami:

Bukan Sekadar Nostalgia, Wings Bakal Pertaruh 4 Lagu Baharu Di Konsert ‘Orang Kita’

Bukan Sekadar Nostalgia, Wings Bakal Pertaruh 4 Lagu Baharu Di Konsert ‘Orang Kita’

Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, membuktikan mereka tidak hanya bersandar kepada kegemilangan lalu apabila bakal mempertaruhkan empat buah lagu baharu pada konsert Wings Orang Kita yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini.

Langkah berani itu diambil bagi memberi nafas segar kepada perjalanan seni mereka, sekali gus menandakan bermulanya fasa dinamik Wings bagi tahun 2026.

Vokalisnya, Dato’ Awie berkata, konsert anjuran Rumah Produksi Merah itu akan menjadi platform pertama buat peminat untuk mendengar secara langsung karya terbaharu mereka yang kini dalam proses akhir rakaman.

“Kita ada kejutan di mana dalam persembahan itu nanti, akan ada segmen lagu baharu. Insya-Allah, ada tiga atau empat lagu yang kita akan persembahkan antaranya bertajuk Yes I Know, Khalifah Empat, Buruk Tujuh dan Sang Kekasih.

“Kami sedang giat menjalani latihan setiap hari untuk memastikan susunan muzik dan pendekatan lagu-lagu ini selari dengan apa yang kita mahukan untuk tahun 2026 dan ke atas,” katanya.

Menyedari keperluan peminat yang pelbagai, penganjur turut mengumumkan pengenalan kategori tiket baharu iaitu Rockzone Seating pada harga RM298.

Kategori ini diwujudkan bagi memberi pilihan kepada penonton yang ingin merasai kehangatan di zon hadapan dalam suasana yang lebih selesa.

Selain itu, kategori kegemaran ramai iaitu Rockzone Standing (RM178) turut ditawarkan bagi peminat yang mahukan tenaga maksimum dan beraksi aktif sepanjang konsert berlangsung.

Mengulas mengenai perubahan barisan anggota, Awie menyifatkan kemasukan dua ahli baharu, Pae (dram) dan Arm (bass), sebagai pemangkin kepada evolusi muzik Wings yang lebih bertenaga.

“Kita tukar susunan muzik dengan kehadiran ‘dua makhluk asing’ ini. Kami mahu nampakkan impak yang lebih kemas dan segar. Jiwa dan roh Wings tetap utuh, tetapi kali ini ia dipacu oleh gabungan tenaga lama dan semangat baharu yang lebih matang,” jelasnya lagi.

Kehadiran mereka berdua disifatkan sangat signifikan dalam melengkapkan semula perjuangan kumpulan itu, sekali gus dianggap sebagai penawar yang berjaya mengubati ‘sayap’ yang pernah patah sebelum ini

Konsert yang bakal berlangsung selama lebih dua jam itu bukan sekadar persembahan muzik, malah merupakan tanda penghargaan buat peminat setia yang digelar sebagai ‘Orang Kita’.

Ia juga menjadi peluang kedua buat mereka yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun sebelum ini.

“Kita akan pilih lagu-lagu yang berkualiti. Walaupun banyak lagu yang ingin dimainkan, kita perlu mengikut durasi masa yang ditentukan agar persembahan tetap padat dan memberi kepuasan maksimum,” tambah Awie.

Wings kini dianggotai oleh Awie (vokal), Sham (gitar), Edrie Hashim (gitar), Arm (bass) dan Pae (dram).

Tiket masih boleh didapati di https://rpm.ubertickets.asia/

Komen
Loading...