Ikuti Kami:

Bukan Sekadar ‘Nak Balik Raya’, Achey Sapa Peminat Menerusi ‘Ibu Raya’

Bukan Sekadar ‘Nak Balik Raya’, Achey Sapa Peminat Menerusi ‘Ibu Raya’

Pelawak dan penyanyi popular, Achey, terus membuktikan taringnya dalam dunia muzik apabila tampil memeriahkan suasana Aidilfitri tahun ini dengan dua buah naskhah istimewa buat peminat setianya.

Selain lagu “Nak Balik Raya” yang kini sedang mendominasi carta, Achey turut mempertaruhkan sebuah lagi lagu berjudul “Ibu Raya”, sebuah kolaborasi unik bersama penyanyi yang sedang meningkat naik, Tantari.

Lagu “Ibu Raya” tidak hanya menampilkan keserasian Achey dan Tantari, malah turut diperkukuhkan dengan penglibatan dua bakat muda, Dahlya dan Rayyan.

Berbeza dengan kemeriahan lagu “Nak Balik Raya” yang lebih bersifat santai, “Ibu Raya” memberi fokus mendalam terhadap peranan besar seorang ibu serta nilai kasih sayang keluarga yang menjadi tunjang sambutan Syawal.

Menurut Achey, pemilihan Tantari dan bakat-bakat muda ini adalah bertujuan untuk memberikan kepelbagaian warna dalam karyanya, sekali gus memastikan semangat Aidilfitri dapat dirasai oleh semua lapisan umur.

Dalam pada itu, lagu utama beliau, “Nak Balik Raya” yang menampilkan penglibatan ahli keluarganya sendiri—isteri dan anak tercinta, Tiara—telah mencatatkan kejayaan luar biasa.

Sejak dimuat naik pada 28 Februari lalu, muzik video tersebut berjaya menduduki Top 10 carta trending kategori muzik di YouTube dan kini menghampiri angka 500,000 tontonan.

“Konsep lagu ini sebenarnya sangat dekat dengan keluarga. Saya selitkan pembabitan isteri dan anak saya kerana mahu menonjolkan elemen kekeluargaan. Emosi lagu ini lebih kepada kegembiraan dan keterujaan orang ramai yang sedang membuat persiapan pulang ke kampung,” katanya.

Achey turut berkongsi bahawa lirik lagu tersebut merupakan refleksi kepada pengalamannya sendiri sepanjang bergelar anak seni, termasuk memori berdepan situasi “raya mengejut” atau tuntutan kerja yang menghalangnya pulang ke kampung pada masa lalu.

Beliau berharap kedua-dua lagu terbitan Seventeen Eleven Music ini dapat menjadi peneman setia buat warga kota yang sedang dalam perjalanan pulang atau ketika masyarakat sedang sibuk membuat persiapan di bazar-bazar raya.

“Saya harap lagu-lagu ini diterima dengan santai. Biarlah ia dimainkan di mana-mana sahaja, di radio, dalam bas, mahupun di pasar raya supaya ia dapat membangkitkan semangat untuk kita semua pulang beraya bersama keluarga,” tambahnya lagi.

Lagu “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Loading...