Bukan Sekadar Konsert, Hujan Rai Dua Dekad di Stadium Hoki Nasional 27 Jun ini
- oleh MDaily Editor
- 4 Apr 2026 6:35 pm
Band indie yang terus mencetuskan fenomena luar biasa selama dua dekad, Hujan, bakal kembali menggegarkan persada seni tanah air menerusi konsert berskala besar, HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada 27 Jun 2026.
Penganjuran konsert ini bukan sekadar persembahan pentas biasa, sebaliknya ia merupakan sebuah naratif perjalanan 20 tahun ‘kugiran’ itu dalam merobohkan tembok diskriminasi genre muzik bebas (indie) sehingga berjaya menembusi pasaran komersial arus perdana.
Menurut penganjur ICON Entertainment, Iman Tang, pemilihan Hujan untuk diraikan dalam sebuah pesta mega adalah satu keputusan mudah memandangkan kredibiliti mereka sebagai ikon muzik generasi masa kini.
“Dalam setiap era muzik Malaysia, akan lahir karyawan yang mampu menjadi legenda dan salah satunya adalah Hujan. Keberanian mereka membawa stail indie ketika pasaran didominasi genre pop dan penyanyi solo adalah satu ‘keberanian hati kering’ yang luar biasa.
“HUJAN XX adalah apresiasi khas buat revolusi empayar mereka yang ‘gila’. Saya yakin konsert ini akan ‘dihujani’ peminat atau Raingers dari seluruh pelosok Nusantara termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.

Bagi pemain gitar Hujan, AG Coco, konsert itu nanti bukan sekadar meraikan kejayaan Noh Salleh, Hang Dimas, Azham Ahmad dan Izzat Uzaini, tetapi lebih kepada meraikan ‘scene’ indie yang pernah dianggap asing suatu ketika dahulu.
“Indie pernah dianggap sukar berjaya, namun kami membuktikan keberagaman genre menjadikan industri muzik tempatan lebih berwarna. Hujan 20 Tahun adalah tentang bagaimana kami seharusnya merayakan Raingers yang setia bertahan sejak 2005.
“Kami mengundang semua untuk mencipta sejarah. Kami akan berpesta dengan lebih 40 buah lagu daripada katalog arkib Hujan,” ujar AG.
Menariknya, bagi menyemarakkan semangat sokongan terhadap industri tempatan, penganjur menetapkan tema busana ringkas namun membawa mesej kuat iaitu peminat digalakkan memakai baju yang bertemakan kumpulan muzik atau jenama (brand) tempatan di bawah label #supportlocal.

Sejak kemunculan album pertama pada 2007, Hujan telah melahirkan sembilan buah album dan memenangi pelbagai pengiktirafan termasuk di Anugerah Industri Muzik (AIM).
Antara seleksi malar hijau yang dijangka berkumandang pada malam konsert itu nanti termasuk Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, Bila Aku Sudah Tiada dan Mencari Konklusi.
Tiket konsert bermula pada harga RM158 sehingga RM268 mengikut kategori yang dinamakan sempena judul lagu popular mereka seperti SANG ENEMY, 123 GO dan LONELY SOLDIER BOY.
Jualan tiket akan mula dibuka pada 10 April 2026, jam 3 petang menerusi laman web www.ticket2u.com.my/Hujan.




