Bukan Sekadar Komedi Kosong, Libang Libu Angkat Isu Masyarakat & Perpaduan
- oleh MDaily Editor
- 17 Apr 2026 1:05 am
Di sebalik kemeriahan dan gelak tawa yang dijanjikan, filem komedi-drama terbaharu, Libang Libu, tampil dengan misi lebih besar iaitu memartabatkan kisah perpaduan dan realiti masyarakat dalam acuan yang santai serta mudah dihadam.
Bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 23 April ini, karya terbitan Tangerine Films Sdn. Bhd. itu dilihat hadir pada waktu yang tepat ketika landskap perfileman tempatan kini banyak didominasi oleh naskhah bertema intens dan berat.
Pengarahnya, Bobby Husaini berkata, meskipun filem sulung arahannya itu berpaksikan genre komedi, ia tetap mempunyai lapisan emosi yang mendalam, menyentuh soal kekeluargaan serta pertembungan budaya yang sering berlaku dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

“Saya sebenarnya memang suka buat komedi, tetapi Libang Libu ini bukan komedi semata-mata. Ia ada banyak lapisan rasa; ada emosi, sedih dan elemen kekeluargaan.
“Komedi yang ditampilkan bukan sesuatu yang dipaksa-paksa, sebaliknya ia datang daripada situasi yang dekat dengan kita. Saya mahu penonton masuk ke panggung, relakskan otak dan menikmati momen tanpa perlu berfikir dalam,” katanya pada Majlis Malam Gala Libang Libu di GSC Mid Valley Megamall, di sini, semalam.
Bobby yang sebelum ini banyak mengarahkan iklan komersial menjelaskan naskhah sulungnya ini mengangkat pertembungan gaya hidup dan silang budaya sebagai tunjang cerita, sekali gus menawarkan nafas baharu buat penonton yang merindui karya asli berjiwa ‘Malaysian’.
Sementara itu, pelakon berkaliber, Beto Kusyairy menyifatkan Libang Libu sebagai sebuah naskhah masyarakat yang sangat dekat di hati, meskipun penceritaannya dibalut dengan unsur komedi dan aksi.

“Secara khusus, mungkin orang Perak akan lebih rasa ‘relate’, tetapi secara amnya, isu yang diketengahkan bersifat universal. Ia menyentuh tentang hubungan adik-beradik dan bagaimana orang kampung kadang-kadang mudah menghukum tanpa menilai apa sebenarnya yang berlaku.
“Bagi saya, watak-watak yang dipaparkan adalah cerminan realiti. Kita tidak berniat untuk menghina sesiapa, sebaliknya kita mahu masyarakat melihat diri sendiri melalui medium filem dalam bentuk yang menghiburkan,” jelas Beto.
Bagi Nabila Huda yang memegang watak Timah Lebor, pengalamannya menyertai produksi ini sangat menyeronokkan meskipun terpaksa berdepan cabaran fizikal termasuk memakai ‘padding’ tambahan untuk menghidupkan karakter tersebut dalam cuaca panas terik di Perak.

“Paling struggle, saya terpaksa memakai ‘padding’ tambahan di bahagian pinggang untuk menampakkan karakter itu lebih ‘lebor’ seperti namanya. Bayangkan dalam cuaca panas terik di Perak, saya kena kekalkan penampilan itu, malah tidak boleh tidur atau berehat (nap) kerana risau rambut dan padding rosak,”
“Walaupun watak saya sebagai ‘penyeri’ dalam filem ini, saya gembira kerana dapat meneroka sisi berbeza. Penonton akan dapat melihat watak yang sangat ‘loud’ dan dramatik, berbeza dengan karakter berat yang sering saya bawakan sebelum ini,” katanya.
Meskipun wataknya tidak memerlukan beliau bertutur dalam dialek Perak, Nabila mengakui sangat menikmati suasana penggambaran itu ibarat satu percutian yang menyeronokkan, selain menyuarakan keinginan untuk terus meneroka pelbagai karakter berbeza pada masa hadapan.
“Selepas ini, saya memang terbuka untuk apa sahaja karakter, sama ada kecil atau besar. Malah, saya teringin nak cuba genre sains fiksyen (sci-fi) atau rom-com (komedi romantik) yang bersesuaian dengan usia saya sekarang,” katanya.
Selain Beto dan Nabila Huda, filem yang menjalani penggambaran selama 23 hari di Lambor Kanan, Teluk Intan dan Ipoh ini turut menampilkan barisan pelakon ‘award-winning’ seperti Amerul Affendi, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman dan Azhan Rani.
Lebih istimewa, ia turut diserikan dengan penampilan khas tokoh perfileman, Datuk Yusof Haslam, bersama Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.

Filem ini mengisahkan kekecohan yang melanda sebuah kampung apabila dipilih menjadi lokasi penggambaran filem, yang turut membongkar konflik identiti seorang pelakon popular.
Di tengah kemeriahan itu, dua beradik Alid (Beto Kusyairy) dan Man Filem (Amerul Affendi) terpaksa mengetepikan ego dan luka lama mereka apabila tanah pusaka keluarga tergadai akibat hutang judi.
Melalui pertembungan pelbagai karakter yang berwarna-warni, naskhah komedi satira ini memaparkan perjuangan dua beradik tersebut mempertahankan maruah keluarga, sambil mengangkat tema penerimaan dan kasih sayang yang dekat dengan realiti masyarakat.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan keunikan dialek Perak dan kemeriahan kisah masyarakat dalam Libang Libu yang akan mula ditayangkan pada 23 April ini.
