Bukan Sekadar Ahli Politik: Dr. Fuziah Salleh, Tokoh Pendamai dan Teknokrat Rakyat 26 Tahun Tanpa Merajuk
- oleh MDaily Editor
- 11 Dec 2025 10:51 pm
Dalam kancah politik Malaysia yang sering bergelora, Datuk Dr. Fuziah Salleh, 66, kekal berdiri sebagai lambang ketabahan dan kesetiaan mutlak.
Baru-baru ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua, tokoh yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini membuktikan definisi sebenar seorang pemimpin yang bekerja, bukannya berbicara.
Kepercayaan yang diberikan buat kali kedua ini bukan sekadar prosedur, tetapi pengiktirafan terhadap Dr. Fuziah sebagai seorang teknokrat rakyat dan individu yang berkhidmat dengan akal yang tajam dan hati yang luhur, berbanding ahli politik konvensional yang sering dibayangi oleh krisis.
Dr Fuziah bukan asing dengan ‘vibe’ Parlimen kerana pernah tiga penggal bergelar Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) iaitu pada fasa 2008-2013, 2013-2018 dan 2018-2022.
Tempoh 20 tahun di Parlimen bergelar Yang Berhormat (YB) membuatkan beliau berjaya menangkis kritikan pembangkang dengan cara tersendiri.
Sebagai seorang pemimpin wanita veteran, Dr. Fuziah mempunyai rekod perkhidmatan yang panjang dan cemerlang dalam kariernya.
Dicampur kedua-duanya (Dewan Rakyat & Negara), beliau adalah seorang ahli legislatif (pembuat undang-undang) yang sangat berpengalaman dengan jumlah khidmat memasuki penggal ke-5 secara keseluruhan di Parlimen.
Apa yang membezakan Dr. Fuziah, yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak September 2024, adalah sejarah kesetiaan beliau yang tersemat kemas sejak hari pertama penubuhan PKR, 26 tahun yang lalu.
Beliau kekal teguh tanpa pernah berganjak atau “merajuk,” satu ciri kepimpinan yang jarang ditemui dalam iklim politik semasa. Malah, kesetiaan beliau diuji hebat sewaktu insiden ‘Langkah Sheraton’, di mana sayap Wanita Keadilan hampir lumpuh sepenuhnya.
Dr. Fuziah, yang pernah memimpin sayap itu di awal penubuhan, sekali lagi diseru untuk membina semula serpihan yang tinggal. Beliau bekerja secara senyap selama dua tahun, menyuntik semangat baharu sehingga Wanita Keadilan bangkit semula sebagai sayap yang digeruni.
Beliau membuktikan bahawa pemimpin sejati adalah mereka yang hadir sewaktu parti paling memerlukan, bukan sewaktu di puncak kuasa.
Sebagai Setiausaha Agung wanita pertama PKR, Dr. Fuziah kini memegang mandat berat untuk menguruskan “parti dalam parti.”
Berbekalkan gaya kepimpinan yang tenang, beliau dikenali sebagai tokoh pendamai yang mendengar keluhan akar umbi, memadamkan api persengketaan, dan memastikan jentera parti bergerak sebagai satu pasukan yang utuh.
Di peringkat kementerian pula, Dr. Fuziah dilihat sebagai pelopor idea dan inovasi. Apabila isu kos sara hidup menekan rakyat, beliau bukan sekadar “mengikut arahan,” sebaliknya menjadi penjana idea utama kepada solusi praktikal.
Inisiatif Jualan Rahmah Bergerak adalah cetusan idea beliau yang tulen membawa pasar raya bergerak menggunakan lori terus ke ceruk kampung dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan tiada rakyat yang tertinggal daripada menikmati harga barangan asas yang murah.
Selain itu, kebijaksanaan strategik beliau turut terserlah menerusi inisiatif Aduan Suri, yang memperkasakan golongan suri rumah sebagai “mata dan telinga” kerajaan, satu langkah bijak yang mendemokrasikan penguatkuasaan undang-undang kawalan harga.
Agenda utama penggal kedua beliau sebagai Ahli Dewan Negara dan Timbalan Menteri KPDN akan berfokus kepada pemantauan harga barang dan memastikan pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 dan diesel, yang merupakan agenda besar kerajaan menjelang 2026.
Dr. Fuziah Salleh membuktikan bahawa daripada seorang kaunselor psikologi kepada arkitek dasar negara, dengan kecekalan, integriti, dan sentuhan kepimpinan yang tenang, seorang wanita mampu menjadi tunjang kekuatan kepada parti dan negara.




