Ikuti Kami:

Bukan Pilih Artis, Tapi Raikan Ikon Muzik Tempatan – Issey

Bukan Pilih Artis, Tapi Raikan Ikon Muzik Tempatan – Issey

Penganjur Makar Fest menafikan dakwaan wujudnya sikap pilih kasih dalam pemilihan artis untuk membuat persembahan pada acara berkenaan, sebaliknya menegaskan fokus utama adalah bagi menghargai ikon muzik tempatan yang memberi sumbangan besar kepada industri seni tanah air.

Wakil penganjur Makar Fest, Issey Fazlisham berkata, karnival anjuran Red Bean Productions & Agency bersama Sunburst KL itu bukan sekadar acara hiburan semata-mata, malah turut mengetengahkan gaya hidup, fesyen dan hobi masyarakat.

“Kami bukan memilih artis secara sembarangan atau berat sebelah. Sebaliknya, kami raikan mereka yang bukan sahaja berbakat, malah membawa imej serta gaya tersendiri yang sesuai dengan konsep Makar Fest.

“Contohnya, kehadiran Datuk Awie dalam Makar Fest 2.0 baru-baru ini amat bersesuaian kerana beliau bukan sekadar legenda muzik rock, tetapi juga figura berpengaruh dalam dunia permotoran dan fesyen,” katanya ketika ditemui selepas penutup Makar Fest 2.0 di Dataran Shahbandar, di sini.

Tambah Issey, pemilihan ikon seperti Datuk M. Nasir dalam edisi terdahulu dan penyanyi muda seperti Amir Masdi membuktikan penganjur memberi ruang kepada pelbagai generasi, termasuk artis baharu dan lama, asalkan sejajar dengan tema karnival.

“Kami turut menerima cadangan daripada penaja seperti Yaya Empire yang menampilkan artis seperti Azman Kulit. Jadi, tidak timbul soal ‘pilih kasih’ kerana pelbagai pihak terlibat dalam menentukan pengisian program,” katanya.

Makar Fest 2.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei lalu berjaya menarik kira-kira 300,000 pengunjung.

Antara faktor penyumbang termasuk penampilan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam sesi Dialog Anak Muda yang berlangsung pada malam pertama.

“Saya sendiri tidak sangka sambutan yang diberikan rakyat Terengganu begitu luar biasa. Saya amat terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan acara ini – daripada artis, selebriti, penaja hinggalah kepada para vendor,” katanya lagi.

Pada malam kemuncak, Datuk Awie memukau ribuan penonton dengan persembahan lebih empat lagu termasuk Sejati, Sayap Ilusi dan Di Penjara Janji.

Mengenai lokasi seterusnya, Issey memaklumkan ia akan diumumkan kemudian menerusi saluran media sosial rasmi Makar Fest, sambil menyatakan harapan untuk membawa acara itu ke negeri lain.

Komen
Loading...