
Setelah empat dekad bersama kumpulan Search, Datuk Amy Search akhirnya bersedia untuk melangkah ke pentas konsert solo.
Konsert Amy Search Magic Konsert Solo yang bakal diadakan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini mengundang persoalan tentang sebab di sebalik tempoh yang lama untuk merealisasikannya.
Bagi Amy, keputusan ini bukan sekadar soal pilihan, tetapi lebih kepada memastikan setiap aspek penganjuran konsert berjalan dengan lancar dan selari dengan visi seni beliau.
“Bukan saya memilih-milih, tapi saya mahu setiap perkara yang dilakukan, dari produksi hingga persembahan, benar-benar mencerminkan siapa saya sebagai seorang seniman. Orang yang terlibat perlu memahami seni saya, bukan sekadar mengurus konsert,” ujarnya.
Datuk Amy atau Suhaimi bin Haji Abdul Rahman menjelaskan bahawa konsert solo ini bukan sekadar persembahan, tetapi platform untuk menterjemahkan perjalanan seni yang kompleks.
“Setiap album saya, seperti Magic, adalah refleksi pengalaman dan emosi saya. Misalnya, lagu-lagu dalam album itu tidak hanya dilahirkan secara rawak. Ia dihasilkan selepas perbualan panjang dengan produser, penulis lirik, dan mereka yang memahami visi seni saya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa setiap elemen, dari pencahayaan hingga susunan muzik, memainkan peranan penting.
“Ia bukan soal ‘siapa yang boleh buat’, tetapi siapa yang tepat untuk buat. Saya mahu pasukan yang tahu apa maksud setiap lagu saya, apa cerita di sebalik setiap album. Kalau tidak, hasilnya tidak akan sampai kepada penonton seperti yang saya inginkan,” tambahnya.
Mengimbas kembali album Magic (1994), Amy mengakui bahawa ia adalah salah satu langkah paling berani dalam kariernya.
“Waktu itu, muzik underground seperti O.A.G dan Butterfingers sedang naik. Saya, sebagai pemuzik mainstream, berani masuk ke dunia mereka untuk menunjukkan bahawa seni tidak terhad kepada arus perdana atau underground sahaja. Saya mahu mendekati mereka dengan nilai seni yang saya bawa,” jelas Amy.
Konsert solo ini juga bertujuan untuk mempersembahkan dimensi baru Datuk Amy Search – bukan hanya sebagai vokalis Search, tetapi sebagai seorang individu yang kaya dengan pengalaman seni.
Amy menekankan bahawa matlamat utama konsert ini adalah untuk memberi sesuatu yang bermakna kepada peminat.
“Saya mahu penonton pulang dengan sesuatu, bukan sekadar rasa terhibur, tetapi kenangan dan pengalaman yang mendalam. Sebab itu, setiap keputusan dibuat dengan teliti. Ini bukan tentang ‘mahal’ atau ‘pilih-pilih’, tetapi tentang memastikan ia tepat,” katanya.
Konsert ini turut mendapat sentuhan dari pengarah muzik dari Jepun, Rie Tsuji dan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert.
Tiket untuk konsert ini boleh didapati bermula 5 Februari 2025 di laman web www.wowtix.com.my. dengan harga tiket bermula RM188 sehingga RM788.
Konsert ini dijangka akan menjadi satu peristiwa besar dalam industri muzik Malaysia.
Dengan gabungan nostalgia dan sentuhan moden, ia bukan sahaja meraikan legasi Amy tetapi juga memperkenalkan sisi baru seorang legenda yang sentiasa berani untuk berbeza.