Ikuti Kami:

Bukan Mahu Menunjuk, Aleeya Avenys Kini Bergelar ‘Tauke’ Berlian Avenys & Co

Bukan Mahu Menunjuk, Aleeya Avenys Kini Bergelar ‘Tauke’ Berlian Avenys & Co

Langkah usahawan dan pempengaruh terkenal, Aleeya Zailan menceburi perniagaan batu permata baru-baru ini nampaknya mengundang pelbagai reaksi, termasuk tohmahan segelintir warganet yang melabelnya sebagai riak.

Aleeya, atau lebih dikenali sebagai Aleeya Avenys, bagaimanapun tenang berdepan dakwaan suka menunjuk-nunjuk koleksi barang kemas, sebaliknya menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran perniagaannya.

“Dah saya jual barang kemas, habis nak harapkan saya tunjuk apa gamaknya? Tentunya saya perlu memperagakan batu permata termasuk berlian kerana itu adalah barang dagangan yang diketengahkan.

“Dalam hal ini, tiada istilah saya bersikap riak. Paling tepat ialah menghargai keindahan batu permata ini semua,” katanya yang kini tampil dengan jenama Avenys & Co.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan, penglibatannya dalam industri barang kemas bermula daripada minat peribadi sebagai pengumpul, sebelum nekad terjun ke bidang perniagaan.

Sejak awal, suami tercinta yang mesra dengan Big Boss menjadi penyokong setia pempengaruh dan usahawan popular ini

Malah, isteri kepada Azri Aziz ini turut mendedahkan bahawa beliau kini memberikan tumpuan sebanyak 80 peratus terhadap empayar berliannya, manakala bakinya untuk perniagaan penjagaan kulit yang sedia ada.

“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Berlian dan permata umpama teman akrab wanita. Dari sekadar mencari yang terbaik untuk diri sendiri, akhirnya tercetus keputusan untuk berniaga, malah saya reka sendiri rekaan yang diingini,” jelasnya.

Selain keuntungan, Aleeya menegaskan misinya menceburi bidang ini adalah untuk mendidik masyarakat agar lebih bijak membeli dan tidak mudah tertipu dengan produk palsu.

Aleeya Avenys akui kehilangan akaun Instagram peribadi cukup memberi tamparan besar dalam hidup.

Ujarnya, banyak kes berlaku di mana pembeli kerugian besar kerana tidak mahir selok-belok batu permata sehingga akhirnya mendapat barangan yang tidak berkualiti.

“Untuk permulaan, barang kemas saya ini dihasilkan secara konsep made to order (tempahan khas) dan boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi kami,” tambahnya lagi.

Di sebalik keterujaan itu, Aleeya mengakui masih ralat dengan kehilangan akaun Instagram peribadinya yang mempunyai lebih 900,000 pengikut akibat digodam, selain akaun TikTok perniagaannya yang disekat berkali-kali.

Namun, beliau enggan menoleh ke belakang dan kini lebih selesa menggunakan platform Facebook serta fokus kepada vlog kembara untuk kekal berinteraksi dengan peminat setianya.

Instagram AVENYS : https://www.instagram.com/avenys/
Instagram Aleeya Zailan : https://www.instagram.com/aleeyaavenys/
Laman Web Avenys & Co. : https://www.avenys.com/collections/jewelry