Ikuti Kami:

‘Bukan Kerana Saya, Tapi Rezeki Allah’ – Fazura Terharu Koleksi Raya Jakel Diserbu Peminat

‘Bukan Kerana Saya, Tapi Rezeki Allah’ – Fazura Terharu Koleksi Raya Jakel Diserbu Peminat

Pelakon dan ikon fesyen popular, Nur Fazura, menyifatkan sambutan luar biasa terhadap koleksi kolaborasi Jakel X Fazura bagi tahun 2026 sebagai satu keberkatan dan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Meskipun ramai yang mengaitkan kejayaan jualan tersebut dengan pengaruh besarnya, Fazura tetap rendah diri dan menganggap segala yang berlaku adalah atas ketentuan-Nya serta sokongan padu para peminat.

“Alhamdulillah, ini semua bukan sebab Fazura tapi sebab rezeki Allah. Faz langsung tak jangka, tetapi saya sangat bersyukur rekaan yang kami hasilkan bersama Jakel dengan penuh teliti, daripada pemilihan material sehingga ke rona warna, mendapat sambutan hangat daripada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis soft launch dan sesi meet and greet di Jakel Mall, hari ini.

Majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri duta-duta Jakel lain termasuk Elly Mazlin, CikEpal, dan Ammar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Bahagian Pemasaran & Promosi Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel, mengesahkan bahawa kolaborasi tahun ini memberikan impak paling besar dalam tempoh sedekad.

Menurut beliau, daripada 51 koleksi yang dirancang, sebanyak 30 koleksi telah dilancarkan secara berperingkat dan hasilnya amat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Tiga daripada 30 koleksi yang telah dikeluarkan sudah pun habis dijual (sold out).

Sekarang hanya tinggal saiz besar seperti 4XL dan 5XL sahaja, manakala saiz biasa kebanyakannya sudah tiada.

“Malah, kami menjangkakan koleksi keempat akan menyusul status sold out dalam masa terdekat. Saya bagi pihak pengurusan Jakel sangat gembira kerana jualan tahun 2026 menunjukkan peningkatan yang cukup ketara,” jelas beliau.

Bagi menghargai pelanggan, Jakel kini mengadakan jualan Pra-Ramadan yang bermula dari 23 Januari hingga 18 Februari ini.

Lebih menarik, sempena cuti umum bermula 31 Januari hingga 3 Februari, pelanggan ditawarkan diskaun tambahan sehingga 50%.

Selain itu, Jakel turut memperkenalkan program purchase reward di mana setiap pembelian berpeluang menerima koleksi khas yang direka sendiri oleh Fazura bernilai RM359 secara percuma.

Mengulas mengenai segelintir maklum balas kurang senang pihak tertentu, Fazura memilih untuk kekal positif dan fokus kepada kualiti produk.

“Kami harap semua pelanggan gembira. Yang tidak berpuas hati itu, biarlah. Kita fokus sahaja kepada pelanggan yang sentiasa menyokong kami selama ini,” tambahnya lagi.

Sesi meet and greet bersama duta JAKEL akan dia teruskan di cawangan terpilih seluruh Malaysia.

Komen
Loading...