Bukan Ipar Sempurna: Ikmal Amry Dihantui Dilema Cinta dan Pengkhianatan
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Pelakon popular, Ikmal Amry kembali menggalas watak mencabar menerusi drama bersiri terbaharu slot Akasia bertajuk Bukan Ipar Sempurna, yang mula bersiaran hari ini di TV3.
Menampilkan kisah rumah tangga yang dibayangi rahsia, dendam dan pengkhianatan, drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini mengangkat persoalan besar tentang erti kepercayaan dalam sebuah perkahwinan apabila cinta diuji oleh masa silam dan persekitaran yang penuh muslihat.
Diadaptasi daripada novel karya Bellesa dengan judul yang sama, drama ini diarahkan oleh Ejump Mohd dan disiarkan sebanyak 28 episod. Ia boleh ditonton setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7 malam atau distrim 24 jam lebih awal menerusi platform Tonton di www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.
Dalam drama ini, Ikmal Amry memegang watak sebagai Firash, seorang lelaki yang nekad membatalkan pertunangan demi memperjuangkan cintanya terhadap Nadhia, lakonan Cahaya Nilam, meskipun tidak direstui oleh ibunya, Puan Farida (Fazlina Ahmad Daud).
Firash hanya mendapat sokongan daripada kakaknya, Atma (Nadiya Nisaa), yang menyambut Nadhia sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.
Namun, kebahagiaan mereka tergugat apabila Nadhia disahkan mengandung dan usia kandungan menimbulkan tanda tanya besar buat Firash.
Kepercayaan mula goyah apabila muncul semula bekas kekasih Nadhia, Zahin (Hafeez Mikail), yang secara tidak langsung menimbulkan konflik lebih besar.
Konflik memuncak apabila Atma, yang disangkakan sekutu, berpaling tadah dan bersekongkol dengan suaminya, Zahin, untuk memisahkan pasangan itu. Nadhia pula difitnah menggoda Zahin, sekali gus membuatkan Firash mula menyimpan dendam terhadap isterinya sendiri.
Turut membintangi drama ini ialah Nessa Maureen, Atira Karma, Raff Roslee dan Jihaa Sham, yang menampilkan lakonan penuh emosi dan penghayatan, menghidupkan konflik rumit dalam hubungan kekeluargaan dan perkahwinan.
Menurut penerbit, drama ini bukan sahaja menawarkan hiburan, malah mengangkat realiti dan dilema yang sering berlaku dalam institusi kekeluargaan – bagaimana kepercayaan yang dikhianati boleh menghancurkan sebuah hubungan yang dibina dengan kasih sayang.
Bukan Ipar Sempurna disiarkan bermula hari ini dan dijangka menjadi antara drama pilihan penonton bagi musim ini.