Ikuti Kami:

“Bukan Gadis Biasa” Mungkin Jadi Drama Terakhir Lakonan Sheila Rusly

“Bukan Gadis Biasa” Mungkin Jadi Drama Terakhir Lakonan Sheila Rusly

Pelakon Sheila Rusly memberikan bayangan drama Bukan Gadis Biasa yang disiarkan di TV3 mungkin menjadi lakonan terakhir buat dirinya.

Ia susulan pengumuman pengunduran diri buat sementara waktu oleh beliau pada semalam kerana dipercayai ‘rasa kecewa terhadap orang dalam industri’ seperti dilaporkan portal Mstar.

“Memang saya merajuk dengan industri sebab saya rasa sebagai anak seni, saya menggunakan platform sebagai penerbit memberi kelainan kepada industri tapi usaha saya orang pandang sambil lalu sahaja.

“Cerita-cerita bergenre biasa ini yang mereka rasa harus dihargai. Saya bila buat apa-apa benda bukan mengharapkan balasan tapi kita bila kita dah berikan full effort, tak dapat penghargaan mestilah kecewa.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kejadian sebenar yang menyebabkan kekecewaan pelakon dan juga penerbit itu yang membuatkan beliau mengambil keputusan untuk berundur diri buat sementara waktu ketika ini.

Keputusan untuk mengundurkan diri itu menurut Sheila juga bukanlah sekadar gimik dari pihaknya untuk mendapatkan perhatian.

“Sekarang ini, saya tak kata sudah kembali berlakon. Drama Bukan Gadis Biasa, buat masa ini itu la drama terakhir saya berlakon sebelum saya berehat sekejap.

“Saya tak tahu berehat sampai bila tapi mungkin sampai saya dapat satu naskah yang terpanggil untuk saya berlakon semula.

“Insya-Allah saya akan kembali kalau watak itu mencabar saya sebagai seorang pelakon, tapi kalau watak biasa bagi kepada orang yang lebih memerlukan platform tersebut,” jelasnya.

Sebelum ini, drama Bukan Gadis Biasa yang turut dibintangi Aida Jebat menjadi ikutan ramai sepanjang Ramadan dan PKP yang lalu, namun seperti diketahui umum ia turut menerima maklum balas yang kurang baik daripada penonton.

Antara perkara yang menjadi pertikaian sebelum ini adalah mekap kesan khas yang digunakan Sheila sendiri dalam membawa watak Opah apabila ada yang berpendapat ianya tidak begitu memuaskan.

Selain itu, pemilihan Sheila sebagai pelakon untuk memegang watak tersebut juga turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen.

Pertikaian dalam kalangan penonton itu kemudiannya bagaimanapun diredakan dengan kenyataan daripada suami Sheila yang juga merupakan pengarah Bukan Gadis Biasa, Jinggo yang menjelaskan kenapa beliau dipilih memegang watak tersebut.

Foto : Instagram Sheila Rusly

Komen
Loading...