Bront Palarae, Zul Ariffin Bertembung Dalam ‘TARUNG: Unforgiven’, Gegar Pawagam 7 Mei
- oleh MDaily Editor
- 15 Mar 2026 3:17 pm
Debaran industri perfileman tanah air kian terasa apabila naskhah aksi paling dinantikan tahun ini, TARUNG: Unforgiven, mengumumkan tarikh tayangan rasmi di seluruh pawagam tanah air bermula 7 Mei depan.
Filem terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu bukan sekadar menjanjikan babak pertarungan yang mendebarkan, malah menjadi medan pertemuan julung kalinya bagi dua ‘heavyweight’ industri, Bront Palarae dan Zul Ariffin di bawah satu naskhah.
Pengarahnya, Razaisyam Rashid berkata, kekuatan utama filem ini terletak pada ensemble cast atau gandingan barisan pelakon yang membawa lapisan emosi mendalam, sekali gus menjadikan konflik yang dipaparkan lebih realistik dan manusiawi.
“Filem ini berdiri atas kekuatan barisan pelakon yang membawa tenaga luar biasa. Tema utama sebenarnya sangat peribadi iaitu ‘you vs you’.
“Pertarungan paling sukar bukan menentang musuh di luar, tetapi menentang kelemahan, ego dan ketakutan dalam diri sendiri. Itu yang saya mahu penonton rasa apabila mereka keluar dari pawagam nanti,” katanya pada majlis pelancaran filem berkenaan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Selain Bront dan Zul, filem yang menyentuh jiwa menerusi penceritaan bekas juara silat ini turut membariskan nama-nama besar dan bintang muda sedang meningkat naik antaranya Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
Sementara itu, Aedy Ashraf yang turut menggalas tanggungjawab besar sebagai Penerbit dan Penerbit Eksekutif menyifatkan TARUNG: Unforgiven sebagai satu anjakan paradigma dalam kerjaya seninya.
“Pada usia 33 tahun, mengambil keputusan untuk menerbitkan filem blockbuster sendiri memang satu risiko besar, namun saya melihatnya sebagai evolusi dalam perjalanan saya dalam industri.
“Melalui Alpha47, saya terlibat secara langsung dalam pembangunan projek ini. Bekerjasama dengan pengarah berwibawa seperti Razaisyam memberi pengalaman mengujakan kerana kami berkongsi visi untuk menghasilkan karya yang kompetitif,” katanya.

TARUNG: Unforgiven mengisahkan pengembaraan seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas satu tragedi berlaku. Dia terpaksa kembali ke gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, namun tanpa disedari, lawan yang menantinya adalah individu yang pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.
Bagi peminat yang tidak sabar menantikan naskhah ini, video acah berdurasi satu minit kini dilancarkan secara eksklusif dan boleh ditonton di pawagam serta platform digital Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw.




