Bront Palarae Bintangi Filem Seram ‘KONG TAO’, Kongsi Layar Bersama Bintang Thailand & Hong Kong
- oleh MDaily Editor
- 15 Mar 2026 10:09 pm
Pelakon berkaliber tanah air, Bront Palarae, terus melakar profil seni di peringkat antarabangsa apabila diumumkan sebagai antara teraju utama filem seram naskhah terbaharu berjudul ‘KONG TAO’ (蠱降).
Naskhah yang menggabungkan elemen seram dan thriller ini menyaksikan Bront berkongsi skrin bersama barisan bintang ternama dari rantau Asia, termasuk pelakon popular Thailand, Kao Supassara serta pelakon veteran Hong Kong, Philip Keung.
Dalam filem ini, Bront menggalas tanggungjawab membawakan watak Amin, seorang pemuda berusia 27 tahun yang berkelulusan dalam bidang Antropologi.
Watak Amin digambarkan sebagai seorang yang ceria, optimis, dan mempunyai minat mendalam terhadap aspek kemanusiaan serta alam sekitar.
Kehadiran watak Amin dalam plot penceritaan ini menjadi jambatan penting apabila beliau bertindak sebagai pemandu arah tempatan yang membantu seorang wartawan warga Thailand, sekali gus membina kerjasama erat dalam membongkar misteri yang menyelubungi mereka.

Selain Bront, filem ini turut membariskan pelakon berbakat besar Malaysia, Yumi Wong, yang memegang watak sebagai Lin Wei En, seorang jurugambar yang terbabit dalam konflik mistik berkenaan.
‘KONG TAO’ bukan sekadar filem seram biasa, sebaliknya ia merupakan sebuah produksi yang menjalankan kajian mendalam selama 18 bulan merentasi Singapura, Malaysia dan Thailand bagi mendokumentasikan amalan ilmu hitam yang kian dilupakan.
Penggunaan empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan Thai dalam filem ini mencerminkan kepelbagaian budaya serantau, sekali gus memberi nilai tambah kepada kualiti produksinya.
Kemunculan Bront dalam naskhah ini bukan sahaja membuktikan kehebatan lakonannya, malah menunjukkan kepercayaan produksi luar terhadap bakat tempatan untuk membawa karya berkualiti ke layar perak antarabangsa.
‘KONG TAO’ mengisahkan tentang amalan ilmu hitam purba yang bukan sekadar legenda, tetapi realiti budaya rakyat yang menyelubungi masyarakat serantau.
Plot bermula dengan tragedi ngeri apabila seorang guru dan sekumpulan pelajar maut secara misteri akibat sumpahan, menyebabkan sekolah mereka ditutup.
Bertahun kemudian, seorang wartawan dari Thailand, Fon (Kao Supassara), nekad ke Malaysia untuk menyiasat kaitan antara amalan mistik tersebut dengan sebuah projek pembangunan hartanah.
Dibantu oleh Amin (Bront Palarae), mereka terpaksa berdepan dengan ancaman nyawa apabila siasatan tersebut mula membongkar rahsia gelap yang sepatutnya terus terkubur.
Diarahkan oleh gandingan sutradara Yong Choon Lin dan Goh Pei Chiek, filem terbitan Mega Films Distribution serta De Kangaroo Production ini dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 19 Mac 2026.




