
Kumpulan R&B legenda, Boyz II Men, bakal kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert eksklusif yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mei 2025 di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh Shiraz Projects ini dijangka menjadi malam penuh nostalgia dan emosi buat para peminat muzik apabila Boyz II Men mempersembahkan rangkaian lagu-lagu hits mereka yang telah mendominasi carta muzik global selama lebih tiga dekad.
Lagu-lagu seperti “End of the Road”, “I’ll Make Love to You” dan “One Sweet Day” bakal bergema semula, menghidupkan kembali kenangan manis era 90-an.
“Kami sangat teruja untuk kembali ke Asia dan membawa pengalaman Boyz II Men ke Kuala Lumpur,”
“Energi dan kemesraan daripada peminat kami di Malaysia tidak seperti yang lain.” kata salah seorang ahli kumpulan, Shawn Stockman.
Boyz II Men yang telah menjual lebih 64 juta album di seluruh dunia merupakan kumpulan R&B terlaris sepanjang zaman. Dengan keharmonian vokal yang memukau dan persembahan bertenaga, kumpulan ini menjanjikan satu malam yang sukar dilupakan.
Selain lagu-lagu popular, peminat juga berpeluang menikmati lagu-lagu baharu daripada album mereka seperti Twenty dan Collide, yang mempamerkan sisi kontemporari kumpulan tersebut. Konsert ini juga dijangka menyajikan kejutan menarik sepanjang persembahan.
Boyz II Men sebelum ini telah memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk 4 Anugerah GRAMMY, 9 Anugerah Muzik Amerika, 9 Anugerah Soul Train, 3 Anugerah Billboard serta Anugerah MOBO 2011 untuk ‘Outstanding Contribution to Music’.
Mereka turut menerima bintang di Hollywood Walk of Fame serta Casino Entertainment Award untuk persembahan tetap di The Mirage Resort and Casino, Las Vegas.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 10 Oktober 2024 menerusi laman web rasmi www.myticket.asia, dengan harga bermula daripada RM355 hingga RM995 mengikut kategori tempat duduk.