Ikuti Kami:

Bomsori Kim Berganding dengan MPO di DFP 28 Jun Ini

Bomsori Kim Berganding dengan MPO di DFP 28 Jun Ini

Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal mempersembahkan satu lagi konsert istimewa yang menyatukan bakat antarabangsa dan muzik klasik bertaraf dunia apabila virtuoso biola dari Korea Selatan, Bomsori Kim, tampil sebagai artis jemputan pada 28 Jun 2025, jam 8 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.

Bomsori Kim merupakan nama yang tidak asing dalam dunia muzik klasik antarabangsa. Beliau sering menjadi tetamu di festival muzik berprestij di Eropah dan telah meraih pelbagai anugerah dalam pertandingan biola terkemuka.

Dikenali dengan sentuhan muzikalnya yang luar biasa, beliau juga pernah menerima penghormatan Anugerah Artis Muda daripada Kementerian Kebudayaan Korea Selatan dan pernah bekerjasama dengan konduktor ternama seperti Paavo Järvi dan Fabio Luisi. Persembahannya telah memukau penonton di kota-kota besar seperti Hong Kong, London, New York dan Los Angeles.

Kolaborasi bersama MPO meletakkan beliau sebaris dengan orkestra ternama dunia yang pernah bekerjasama dengannya, termasuk New York Philharmonic, BBC Philharmonic, Vienna Symphony, Danish National Symphony Orchestra, Netherlands Radio Orchestra dan San Francisco Symphony.

Dalam konsert ini, Kim akan membawakan karya agung Violin Concerto No.1 oleh Bruch, sebuah karya yang terkenal dengan melodi indah dan emosi mendalam. Karya yang disiapkan pada tahun 1866 ini akan menyerlahkan gabungan bertenaga antara kehebatan teknikal Kim dan keutuhan persembahan MPO, dengan tema penuh gaya gypsy yang memikat.

Konduktor kelahiran Sepanyol, Jaume Santonja, akan kembali memimpin MPO dalam malam yang menjanjikan limpahan romantisisme dan ekspresi muzik yang penuh warna. Konsert akan dimulakan dengan Overture to Byron’s Manfred karya Schumann, yang diilhamkan daripada puisi dramatik hasil nukilan Lord Byron dan diiktiraf sebagai antara karya agung komposer itu.

Persembahan malam itu akan diakhiri dengan Symphonic Dances oleh Rachmaninoff, karya terakhir komposer itu yang menampilkan orkestrasinya yang luar biasa. Karya ini pertama kali dipersembahkan oleh Philadelphia Orchestra pada tahun 1941 dan terus diangkat sebagai antara pencapaian terbaik beliau.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini dijual di www.mpo.com.my pada harga antara RM229 hingga RM499, bergantung kepada kategori tempat duduk yang ditawarkan.

MPO menjemput semua pencinta muzik untuk turut serta dalam malam penuh magis ini yang menjanjikan pengalaman muzik yang mengujakan.

Orang ramai juga digalakkan menyokong usaha MPO melalui sumbangan di laman web rasmi mereka di www.mpo.com.my/donate bagi memperkasakan pembangunan bakat tempatan dan memperluas jangkauan seni muzik kepada semua lapisan masyarakat.

Komen
Loading...