
Sudah menjadi kebiasaan pada masa kini apabila peminat merakam dan memuat naik video ke laman sosial untuk dijadikan kenangan. Namun, ada juga yang mengambil kesempatan dengan memuat naik rakaman penuh konsert dan menjana pendapatan melalui platform media sosial.
Kumpulan Barbarik memahami kehendak peminat untuk merakam momen istimewa ketika menghadiri konsert namun mereka menegaskan bahawa tindakan ini perlu dilakukan secara beretika dan tidak menjejaskan hak cipta karya mereka.
Pemain gitar utama dan pengasas Barbarik, Jobranko, mengakui bahawa rakaman konsert sudah menjadi kebiasaan di era teknologi masa kini.
“Zaman sekarang orang nak simpan momen untuk diri sendiri, itu hak mereka. Tapi, jangan sampai ambil keseluruhan konsert dan buat keuntungan daripadanya,” katanya semasa sesi temubual menjelang Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat yang akan berlangsung Sabtu, 28 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur.
Jobranko turut menambah bahawa kumpulan itu sentiasa mengubah susunan lagu dan konsep persembahan mereka untuk memberikan pengalaman yang segar kepada peminat dan mengelakkan isu kandungan berulang di media sosial.
“Setakat rakaman pendek satu dua lagu, kita tak kisah. Tapi kalau rakaman keseluruhan konsert digunakan untuk menjana keuntungan, kita takkan berkompromi. Kita ada pasukan penguatkuasa yang disokong oleh pengedar kami, Universal Music Malaysia, yang akan memastikan perkara ini tidak berlaku. Rakaman sebegitu menjejaskan usaha dan kreativiti kami,” tegasnya.
Menurut Jobranko lagi, peminat perlu memahami bahawa setiap rakaman penuh yang tersebar tanpa kawalan akan merendahkan nilai sebuah persembahan secara langsung.
“Kalau rakaman keseluruhan tu tersebar, ia beri persepsi konsert kita tak eksklusif. Orang fikir tak perlu datang konsert lagi sebab dah boleh tengok semua secara percuma. Itu merosakkan nilai kerja seni kami,” jelasnya.
Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat dijangka penuh dengan kejutan termasuk segmen “Retro Acoustic” yang akan membawa peminat mengimbau zaman kegemilangan mereka dengan gubahan lagu-lagu klasik yang diberi nafas baharu.
Segmen tersebut akan menampilkan pemain gitar undangan iaitu Shah Slam, Muzza dan Ujang Gitar, serta turut diiringi oleh persembahan kuartet gesek (string quartet).
Vokalis Barbarik, Muss menegaskan bahawa konsert kali ini akan tampil berbeza dan luar biasa, berbanding tanggapan bahawa konsert rock selalunya sama, demi memastikan penonton mendapat pengalaman yang benar-benar berbaloi.
“Ada yang beranggapan konsert rock semuanya sama, main lagu yang sama, tiada kelainan dan boleh dijangka. Tapi kali ini, kami benar-benar ingin tampil dengan sesuatu yang segar dan luar biasa. Setiap sen yang dibelanjakan oleh penonton akan membawa pulangan pengalaman yang tidak akan mereka lupakan,” ujar Muss.
Menurut Jobranko, hasil daripada usaha promosi yang dijalankan, jualan tiket menerima sambutan yang sangat menggalakkan. Tiket bagi kategori VIP telah pun habis, manakala tiket tempat duduk hampir kehabisan. Sementara itu, tiket untuk kategori berdiri (arena) masih berbaki sekitar 50 peratus.
“Di Malaysia, pembelian tiket memang sering berlaku pada saat-saat akhir. Peminat rock kita pun begitu, ramai yang tunggu hingga saat akhir untuk membeli, terutamanya peminat setia yang sibuk dengan komitmen kerja. Namun, kami tetap optimis konsert ini akan mencapai kapasiti penuh,” kata Jobranko.
Barbarik yang dianggotai oleh Muss selaku vokalis, Jobranko di posisi gitar utama, Rozaimi selaku pemain bass dan Ainol di bahagian dram tampil dengan keyakinan baharu apabila buat julung kalinya akan mempersembahkan sepenuhnya lagu-lagu ciptaan sendiri.
Lagu-lagu seperti Nasib Baik, Marcapada, Didakap Pesona dan Peluru Cokelat akan dipersembahkan bersama lagu klasik seperti Watari, Rastali, dan Jerangkung Dalam Almari.
Persembahan juga akan diserikan dengan kemunculan khas Karl Cromok yang bakal menghidupkan lagu Golok Kayu dan sebuah lagi lagu yang dirahsiakan.
Pentas Peluru Cokelat akan diadakan di ZEPP Kuala Lumpur pada Sabtu, 28 Jun 2025 jam 8.45 malam. Tiket konsert ditawarkan pada harga antara RM150 hingga RM380. Semua tiket boleh diperoleh menerusi laman web rasmi ilassotickets.com.