BMC Family 360° Tarik 10,000 Pengunjung, Nabila Razali Jadi Tumpuan
- oleh MDaily Editor
- 26 Sep 2025 5:39 pm
Pesta dan karnival keluarga mampan terbesar BMC Family 360° mencatat kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras, minggu lalu.
Bertemakan “A Step to the Future”, acara anjuran AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi ini mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG).
Tumpuan utama acara ini ialah kehadiran ikon muda dan jurucakap rasmi BMC Family 360°, Nabila Razali, yang bukan sahaja menghiburkan pengunjung dengan persembahan tiga lagu popularnya iaitu Cemburu, Putus dan Pematah Hati, malah turut berkongsi pengalaman menyeronokkan sepanjang menyertai aktiviti di karnival tersebut.
“Pesta ini sangat meriah dengan pelbagai aktiviti untuk semua peringkat umur. Bella sendiri sempat melawat Mini Zoo dan berinteraksi dengan haiwan eksotik seperti skunk dan meerkat. Ia benar-benar pengalaman yang menyeronokkan,” katanya.

Tambah Nabila, pameran Angkatan Tentera Malaysia juga memberi perspektif baharu terhadap usaha mempertahankan kedaulatan negara.
“Bella bangga dapat melihat sendiri teknologi pertahanan negara kita. Ia satu pengalaman berharga yang mengajar kita tentang peranan penting keselamatan dalam mencapai kemampanan,” ujarnya.
Selain hiburan dan pameran, pesta ini turut menampilkan Persembahan Malam SDG yang menggabungkan muzik, budaya serta mesej kemampanan.
Persembahan muzikal oleh Talenthaus dan beberapa kumpulan ensemble muzik turut memukau pengunjung sebelum acara ditutup dengan tarian ballerina dan K-pop.
Kejayaan penganjuran BMC Family 360° sekali lagi membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan dan gaya hidup lestari.




