Ikuti Kami:

BLUNTSHEEP ‘Remake’ Lagu Pedih, Teruja Buka Tirai Konsert Malam Simfoni Luka

BLUNTSHEEP ‘Remake’ Lagu Pedih, Teruja Buka Tirai Konsert Malam Simfoni Luka

Tahun 2026 membuka lembaran cukup signifikan buat kumpulan pop rock alternatif, BLUNTSHEEP, apabila tampil dengan naskhah terbaharu berjudul Pedih terbitan Sony Music Entertainment Malaysia.

Karya yang diolah semula dengan susunan muzik lebih segar dan matang itu bukan sekadar pertaruhan seni, malah membawa nilai sentimental yang cukup mendalam buat sang vokalisnya, Atta Rumnan.

Atta atau nama sebenarnya Attana Qawiuddin Rumnan, 18, mendedahkan Pedih merupakan hasil ciptaan bapanya sendiri, Hadi Rumnan, yang juga seorang komposer berpengalaman dalam industri muzik tanah air.

“Bagi saya, sesebuah lagu tidak mempunyai batas usia. Karya lama boleh dihidupkan semula melalui interpretasi dan jiwa yang berbeza mengikut peredaran zaman.

“Selain meneruskan legasi ayah, saya melihat ini sebagai satu penghormatan kepada karya beliau yang pernah dipopularkan oleh artis lain sebelum ini,” katanya.

Selain Atta, BLUNTSHEEP turut dianggotai oleh Umar Naufal, 18 (gitar elektrik/vokal latar), Moses Dass, 19 (dram), serta dibantu pemain bass tambahan, Ariff Azmi.

Dalam pada itu, keterujaan kumpulan ini kian memuncak apabila mereka diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai artis pembuka tirai bagi konsert Malam Simfoni Luka yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Januari ini.

Konsert yang menghimpunkan nama besar seperti Midnight Fusic, Insomniacks, dan For Revenge itu dianggap sebagai platform terbaik untuk BLUNTSHEEP memperkenalkan identiti muzik mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“Sejujurnya, segalanya berlaku dengan begitu pantas. Kami baru sahaja melancarkan Pedih, kemudian disusuli pula dengan peluang beraksi di pentas Zepp KL.

“Walaupun hanya akan mempersembahkan tiga buah lagu, kami bertekad memberikan persembahan terbaik agar kehadiran BLUNTSHEEP meninggalkan kesan positif kepada peminat,” ujar Atta lagi.

Selain aktif bersama kumpulan, Atta turut memberi bayangan mengenai projek solo pada masa hadapan termasuk perancangan bekerjasama dengan penerbit dari Indonesia bagi menerokai genre ‘hipdut’.

Single Pedih boleh mula dinikmati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music bermula hari ini.

Komen
Loading...