Blood Brothers Tampilkan Aksi Padu & Drama Mendebarkan, Tayangan Bermula 10 April
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Filem aksi terbaru, Blood Brothers, bakal menggegarkan pawagam bermula 10 April 2025 dengan gabungan aksi mendebarkan dan jalan cerita penuh emosi.
Treler rasminya yang baru sahaja dilancarkan telah mencuri perhatian ramai, menampilkan pertempuran sengit, koreografi pertarungan yang agresif, serta drama persaudaraan yang menyentuh hati.
Diarahkan oleh Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, serta hasil karya Abhilash Chandra, Ghazwan Tomasi, Ayam Fared, dan Ashraf Modee Zain, Blood Brothers menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Irfan Zaini, Andy Teh, dan Amelia Henderson.
Mengisahkan Ariff (Syafiq Kyle), seorang pengawal peribadi yang setia tetapi dikhianati dan dituduh berpaling tadah terhadap saudara Naga yang telah membesarkannya, filem ini membawa penonton dalam sebuah perjalanan yang penuh konflik.
Ariff terpaksa mencari abang kandungnya, Jaki (Syazwan Zulkifly), untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Namun, keadaan semakin rumit apabila dia menjadi buruan sahabat baiknya sendiri, Ghaz (Sharnaaz Ahmad), ketua pasukan pengawal peribadi elit yang pernah dianggapnya sebagai keluarga.
Treler rasmi berdurasi 2 minit 16 saat memberikan gambaran aksi bertaraf antarabangsa dengan sinematografi yang memukau serta naratif yang penuh ketegangan.
Reaksi peminat di media sosial menunjukkan keterujaan mereka terhadap gabungan aksi yang padu dan elemen drama yang menyentuh perasaan, menjanjikan pengalaman tontonan yang penuh emosi dan adrenalin.
Dengan barisan pelakon mantap, koreografi pertarungan yang mendebarkan, dan jalan cerita yang memikat, Blood Brothers dijangka menjadi antara filem aksi terbaik tahun ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini di pawagam bermula 10 April 2025!