Ikuti Kami:

Blood Brothers: Bara Naga Sasar Tayangan Antarabangsa Selepas Kutipan RM62 Juta

Blood Brothers: Bara Naga Sasar Tayangan Antarabangsa Selepas Kutipan RM62 Juta

Filem aksi epik tempatan Blood Brothers: Bara Naga terus mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM62 juta hanya dalam tempoh 20 hari tayangan di pawagam seluruh negara.

Kejayaan ini menjadikan filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu antara filem tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah industri perfileman Malaysia.

Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, menjelaskan bahawa pihaknya sedang giat merancang dan menjalankan pelbagai persiapan bagi memastikan Blood Brothers: Bara Naga dapat menembusi pasaran luar negara termasuk di Thailand, Vietnam, dan Indonesia.

“Kami sudah menterjemahkan filem ini ke dalam bahasa Thai dan menjangkakan ia akan ditayangkan di Thailand dalam tempoh sebulan,” katanya.

Namun begitu, Datuk Yusof mengakui terdapat beberapa cabaran, khususnya di Indonesia yang kini dibanjiri dengan filem tempatan sehingga menyukarkan pencarian lokasi atau pawagam yang sesuai.

“Di sana, kita menghadapi beberapa kekangan seperti kekurangan venue atau hub tayangan. Namun, kami tetap berusaha untuk memastikan ia dapat ditayangkan di pasaran tersebut,” jelas beliau.

Blood Brothers: Bara Naga turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, Amelia Henderson, dan Zamarul Hisham.

Terdahulu, pelakon-pelakon Blood Brothers: Bara Naga telah mencuri perhatian ramai apabila mereka mengadakan acara ‘walkabout’ di Bukit Bintang.

Acara tersebut menyaksikan mereka berinteraksi dengan ratusan peminat, selain mengumumkan kutipan terkini filem itu menerusi papan iklan digital di kawasan segitiga emas tersebut.

Turut sama hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.

Filem yang diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi ini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Kunjungi pawagam terdekat anda sekarang!.

Komen
Loading...