Ikuti Kami:

Blood Brothers: Bara Naga Angkat Martabat Filem Aksi Tempatan

Blood Brothers: Bara Naga Angkat Martabat Filem Aksi Tempatan

Sebuah lagi karya hebat dari Skop Productions, Blood Brothers: Bara Naga, kini bersedia menggegarkan industri perfileman tempatan.

Filem aksi penuh aksi ini, yang dibawakan dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 10 April 2025 di 146 lokasi terpilih di seluruh negara.

Filem ini menampilkan barisan pelakon terkenal negara antaranya Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, dan Syazwan Zulkifly.

Setiap daripada mereka membawakan watak dengan penuh intensiti dan kredibiliti, menyumbang kepada kekuatan keseluruhan filem yang menyentuh tema persaudaraan, pengorbanan dan dendam.

Mengisahkan tentang Ariff (Syafiq Kyle), seorang pemuda yang diserap ke dalam organisasi kawalan keselamatan elit bawah naungan kumpulan mafia Naga yang diketuai oleh Dato Zul (Wan Hanafi Su), kisah menjadi rumit apabila satu pengkhianatan besar berlaku.

Ariff dituduh sebagai pembelot dan diburu oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad), orang yang dianggapnya seperti abang kandung. Dalam usaha membersihkan namanya, Ariff terpaksa mencari semula abang kandungnya yang telah lama terpisah, sekali gus mencetuskan konflik dalaman dan luaran yang mencabar.

Sinematografi filem ini turut mendapat pujian – dengan penggunaan sudut kamera kreatif, pencahayaan dramatik, serta visual yang menghidupkan emosi dalam setiap babak.

Adegan aksi disusun dengan koreografi yang realistik dan mendebarkan, meletakkan Blood Brothers: Bara Naga setanding dengan karya antarabangsa.

Apa yang menjadikan Blood Brothers: Bara Naga begitu dinantikan adalah penyatuan dua nama besar dalam pengarahan – Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra – yang berjaya mencipta sinergi luar biasa menerusi gaya pengarahan masing-masing.

Syafiq dikenali dengan sentuhan sinematik serta naratif yang kompleks, manakala Abhilash menampilkan kekuatan pengarahan aksi dan emosi yang mendalam.

Gabungan dua sutradara tersohor ini telah menghasilkan sebuah filem yang bukan sahaja memukau secara visual, tetapi juga kuat dari aspek penceritaan dan emosi.

Pengarah Syafiq Yusof menyatakan bahawa dua tahun dedikasi telah diberikan untuk menghasilkan filem ini, yang diharapkan dapat membanggakan industri dan memberi inspirasi kepada pengkarya lain untuk terus berani mencipta karya.

“Dua tahun penuh dedikasi telah kami curahkan untuk menjadikan filem ini satu naskhah yang mampu membanggakan industri. Saya percaya ia akan memberi inspirasi kepada pengkarya lain untuk terus berani mencuba.” katanya.

Sementara itu, Abhilash Chandra berkata bahawa kerjasama ini adalah pengalaman luar biasa dan mereka berharap penonton dapat merasakan keterhubungan dengan jalan cerita serta konflik watak-watak dalam filem.

“Kerjasama ini adalah pengalaman yang luar biasa. Kami mahu penonton benar-benar rasa terhubung dengan jalan cerita dan konflik watak-watak dalam filem ini.” katanya.

Pada malam tayangan perdana yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, serta tokoh-tokoh industri seperti Datuk Dr. Yusof Haslam, Datuk Hans Isaac, dan Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios.

Majlis tayangan perdana turut menyaksikan persembahan lagu tema filem Bara Jiwa oleh Azlan Typewriter dan Muzza, yang menghidupkan semangat perjuangan dan persaudaraan yang menjadi nadi kepada naratif filem ini.

Secara keseluruhan, Blood Brothers: Bara Naga membuktikan bahawa filem aksi tempatan mampu mencapai tahap kualiti bertaraf antarabangsa apabila diberi perhatian dari setiap aspek – pengarahan, lakonan, teknikal dan emosi.

Dianggap sebagai filem wajib tonton bagi penggemar filem aksi, Blood Brothers: Bara Naga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pengkritik.

Rata-rata pengulas filem tempatan memberikan markah penuh atas aspek pengarahan, penceritaan, lakonan dan teknikal, menjadikan ia antara karya paling menyerlah tahun ini.

Filem ini bakal mula ditayangkan di seluruh negara pada 10 April 2025. Penonton disarankan untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan karya hebat ini di pawagam berhampiran.

Komen
Loading...