Ikuti Kami:

Black On White: Cromok Janjikan Bunyi ‘Live’ Setaraf Rakaman Studio

Black On White: Cromok Janjikan Bunyi ‘Live’ Setaraf Rakaman Studio

Kumpulan thrash metal tanah air, Cromok, menjanjikan kualiti audio yang setaraf dengan kualiti rakaman studio buat para peminat yang bakal hadir ke Konsert Black On White Cromok-Barbarik di IdeaLive Arena, di sini, pada 27 Jun depan.

Menurut pemain gitar utama, Karl, Cromok akan menaik taraf keseluruhan sistem bunyi mereka di atas pentas dengan beralih sepenuhnya daripada sistem analog tradisional kepada teknologi digital bagi memastikan standard tersebut tercapai.

​”Apabila menggunakan sistem analog tradisional, limpahan bunyi (spill sound) daripada penguat suara (amplifier) gitar, bass dan dram akan masuk ke dalam mikrofon lain termasuk mikrofon vokal, sekaligus membuatkan adunan bunyi menjadi kurang bersih,” katanya pada sidang media konsert yang diadakan di The Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur, di sini, semalam.

​Karl atau nama sebenarnya Khairul Anuar Shariff yang juga merupakan seorang jurutera audio bertauliah berkata, penggunaan teknologi digital secara ‘plug and play’ membolehkan kawalan audio dilakukan secara automatik dan lebih tepat mengikut tetapan yang telah dibuat awal.

​Jelas beliau, menerusi sistem digital, situasi di atas pentas akan menjadi ‘senyap’ tanpa kewujudan deretan pembesar suara fizikal yang besar, namun kualiti bunyi yang disalurkan terus kepada sistem bunyi utama penonton adalah pada tahap maksimum.

​”Bila guna digital, atas pentas tiada amp (penguat suara) atau perkakasan lain. Bunyi senyap di atas pentas dan hanya keluar di bahagian hadapan (sistem bunyi utama) manakala kami menggunakan sistem pemantauan dalam telinga (in-ear monitor).

​”Kelebihannya, apa yang saya dengar di atas pentas, 100 peratus sama dengan apa yang jurutera bunyi dengar. Bunyinya akan jadi sangat seimbang dan bersih macam rakaman album,” katanya.

​Dalam pada itu, Karl berkata konsert tersebut turut menjadi platform buat Cromok memperkenalkan produk pedal efek gitar jenama tempatan, ZFX Industri.

​Menurut beliau, produk buatan anak tempatan itu akan digunakan secara rasmi buat pertama kali sewaktu konsert tersebut berlangsung kelak.

​”Malaysia mempunyai banyak bakat yang hebat, cuma mereka kekurangan peluang dan ruang untuk ditonjolkan. Oleh itu, kami memerlukan sokongan daripada pihak media dan penggerak industri untuk bersama-sama menaikkan nama jenama tempatan seperti ZFX Industri ini,” katanya.

Selain itu, kumpulan legenda itu turut bakal mempertaruhkan naskhah terbaharu mereka, ‘Black Fury’ yang menampilkan JoBranko pada malam konsert tersebut.

Malam tersebut turut akan menyaksikan kolaborasi luar biasa antara Cromok dan Barbarik bagi segmen penghormatan kepada kumpulan Kembara, di mana karya-karya malar segar kumpulan itu akan digubah semula dan dipersembahkan bersama oleh kedua-dua kumpulan ini.

Konsert ini menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.