Black Hanifah Lancar Single Terbaru “Hijab Rindu” – Balada Penuh Emosi
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Penyanyi tersohor Black Hanifah memperkenalkan single terbaharunya, Hijab Rindu, sebuah lagu balada penuh emosi yang membawa tema kasih sayang, ketabahan, dan kematangan hidup.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi antara Black dengan Rudy Nastia, Nyawa Black, Kelana, dan Adi Pawana, dengan lirik menyentuh hati ciptaan Adi Pawana dan Rudy Nastia.
Hijab Rindu dicipta untuk menghargai kenangan bersama keluarga dan menjadikan memori itu sebagai kekuatan dalam menghadapi masa depan.
Menurut Black, lagu ini mengangkat mesej penerimaan dan menghargai insan tersayang, terutama apabila kehadiran anak memberikan makna yang mendalam dalam kehidupan.
Dari sudut produksi, lagu ini menampilkan melodi dan susunan vokal yang teliti, diterajui oleh Rudy Nastia dan Afif Tirmizie. Rakaman dijalankan di Mixbro Records, manakala proses mastering disempurnakan oleh Huzai dari SYNS Music. Ini juga merupakan kolaborasi kedua Black bersama Rudy Nastia, Kelana, dan Adi Pawana selepas Hanyut pada 2021.
Selepas menjalani pembedahan pita suara akibat polip, rakaman Hijab Rindu menjadi cabaran buat Black. Penyesuaian nada dan key vokal yang sesuai dilakukan dengan kerjasama pasukan produksi.
“Sudah hampir dua tahun saya tidak dapat mencapai not tinggi dengan selesa. Lagu ini menjadi simbol perjalanan pemulihan saya,” kata Black.
Lagu ini mengangkat tema kasih sayang keluarga, dengan harapan ia dapat menyentuh hati pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat, terutama ibu bapa atau mereka yang menghargai ikatan keluarga.
Black menyeru pendengar untuk menghayati lirik dan melodi yang penuh makna dalam lagu ini.
Muzik video rasmi Hijab Rindu dirakam di Perth, Australia, memaparkan momen intim Black bersama isteri dan anak-anaknya, memberikan dimensi peribadi yang selari dengan tema kasih sayang.
Hijab Rindu boleh mula distrim di semua platform muzik digital bermula 6 Disember 2024. Muzik video rasmi pula akan dilancarkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama, jam 3 petang.