Bintang Legenda Meriahkan Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran 2025
- oleh MDaily Editor
- 11 Nov 2025 1:17 pm
Program Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bakal menggamatkan Pusat Latihan RELA, Tuaran, Sabah dengan persembahan bertenaga barisan artis legenda tanah air pada 14 hingga 15 November ini.
Antara artis yang bakal memeriahkan pentas ialah Datuk Khatijah Ibrahim, Ameng Spring, Datuk Jeffrydin dan Ani Mayuni yang akan menghiburkan pengunjung dalam Konsert Kemuncak Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.
Tidak ketinggalan selebriti popular Sabah, Joveana Jim Lajim dan Tati Atitih Yati Robert, Juara Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah 2025, yang turut sama memeriahkan program ini.
Majlis perasmian rasmi akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 14 November jam 7.30 malam.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan KKDW, Encik Ahmad Syah Ejaz Ismail, berkata program ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga wadah mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana harmoni serta mesra.

“Persembahan yang ditampilkan mencerminkan kepelbagaian budaya serta kekayaan seni tempatan yang menjadi kebanggaan negara. Selain konsert, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk Pertandingan E-Sports dan Pertandingan Karaoke (Tuaran Golden Voice),” katanya.
Tambah beliau, program ini juga membuka ruang kepada penyertaan masyarakat setempat dalam aktiviti santai yang menggalakkan perpaduan dan semangat kerjasama.

Program Sentuhan Kasih Desa (SKD) merupakan inisiatif strategik KKDW yang dilaksanakan secara berkala bagi memperkukuh pembangunan luar bandar serta memartabatkan komuniti desa di seluruh negara.
Menurut Ahmad Syah Ejaz, pelaksanaan SKD di Tuaran kali ini melibatkan penyertaan 55 usahawan di bawah seliaan KKDW bagi mempromosikan produk tempatan dan membuka peluang jaringan perniagaan baharu.
“Kami berharap program ini dapat mencungkil bakat, memperkasa ekonomi tempatan serta menjadi platform bagi Kementerian berinteraksi secara langsung dengan masyarakat luar bandar,” katanya lagi.
YAB Timbalan Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada 5,000 penerima merangkumi kumpulan e-Kasih, mangsa bencana, komuniti kelas KEMAS dan keluarga B40 pelajar Tabika KEMAS.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai kemudahan seperti khidmat kaunter geran keusahawanan, perkhidmatan GIATMARA termasuk gunting rambut dan servis penyaman udara kenderaan serta peluang memenangi 2,000 kupon penggalak jualan bernilai keseluruhan RM10,000 yang diagihkan percuma sepanjang dua hari penganjuran program.
Penganjuran Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran dijangka menarik ribuan pengunjung dan menjadi simbol kesinambungan komitmen KKDW dalam memperkasa komuniti desa selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.




