
Astro membuka lembaran baharu dalam landskap hiburan tanah air menerusi pelancaran Big Stage Alpha, sebuah program realiti nyanyian terbaharu yang menjadi platform eksklusif pencarian kumpulan penyanyi lelaki pertama (boy group) di bawah naungan Astro dan Rocketfuel Entertainment.
Buat pertama kalinya dalam sejarah penerbitan Big Stage, musim ini hadir dengan format all-male spin-off yang menampilkan 18 peserta lelaki daripada pelbagai latar belakang termasuk Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Mereka akan bersaing setiap minggu untuk merebut tempat dalam boy group yang bakal debut secara rasmi di akhir musim.
Program ini akan mula bersiaran pada 27 April 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) serta boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Big Stage Alpha merupakan langkah berani Astro dalam mengangkat bakat lelaki secara berkumpulan, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Kami yakin platform ini mampu melahirkan sebuah boy group tempatan yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga bersedia bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Berbeza daripada musim-musim terdahulu, Big Stage Alpha memberi penekanan terhadap pembentukan sebuah kumpulan lelaki yang mantap dari segi vokal, persembahan, personaliti dan keserasian kumpulan.
Seramai 18 peserta berusia antara 18 hingga 37 tahun akan diuji melalui pelbagai cabaran – daripada persembahan solo dan tugasan berkumpulan, sehinggalah latihan vokal dan koreografi.
Antara peserta yang bakal mencuri perhatian termasuk Afiq Sky, Alif Azri, Allan Andersn, Ray-D, Ridhwan Azman, Apich Lo dan Shaqeen.
Setiap minggu, peserta akan dinilai oleh barisan juri berpengaruh dan berpengalaman iaitu Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini.
Markah daripada juri akan menentukan tiga peserta tercorot setiap minggu, manakala undian peminat akan menentukan siapa yang kekal dan siapa yang tersingkir.
Finalis yang terpilih bakal disatukan sebagai sebuah boy group rasmi yang akan memulakan perjalanan seni mereka di bawah pengurusan Astro dan Rocketfuel.
Mengemudi pentas utama ialah dua hos berkarisma, Elly Mazlein dan selebriti popular Indonesia, Rina Nose, yang dijangka menambah warna dan elemen hiburan sepanjang siaran.
Selain konsert mingguan, Big Stage Alpha turut disokong oleh dua rancangan sampingan: Diari Big Stage Alpha, yang memaparkan persediaan dan latihan peserta setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.08 malam; serta Buzz Big Stage Alpha, sesi ulasan dan reaksi juri selepas konsert utama setiap Ahad malam.
Program ini turut mendapat kerjasama jenama popular seperti Perfume Paradise selaku Penaja Utama dan ZUS Ngupi sebagai Kopi Rasmi musim ini.
Astro Gempak tampil sebagai Rakan Digital dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi. Saksikan perjalanan mereka dari ‘zero to hero’ bermula 27 April ini, hanya di Astro.