Ikuti Kami:

BIENZ Lebar Sayap Ke Putrajaya, Tawar Pizza A5 Wagyu Premium

BIENZ Lebar Sayap Ke Putrajaya, Tawar Pizza A5 Wagyu Premium

Raffil Jamir (kanan) merakam gambar bersama ahli keluarga sempena perasmian restoran kedua BIENZ di Putrajaya.

BIENZ, restoran yang popular dengan menu premium terutama pizza A5 Wagyu memasuki dimensi baharu dalam industri makanan dan minuman tempatan (F&B) menerusi pembukaan cawangan kedua di Putrajaya hari ini.

Selepas kejayaan premis pertama di Wangsa Maju, Kuala Lumpur perkembangan baharu tersebut menjadi tanda aras positif peningkatkan jenama tempatan yang diasaskan oleh tiga beradik ini kian kukuh.

Pembukaan cawangan ini bagi mendekatkan BIENZ dengan pelanggan yang berada di luar Kuala Lumpur, khususnya di sekitar Bangi, Kajang, Seri Kembangan dan kawasan berhampiran.

Pengasas Bersama BIENZ, Raffil Jamir berkata, pemilihan Putrajaya sebagai lokasi cawangan kedua bukan
dibuat secara kebetulan.

“Putrajaya merupakan kawasan yang sangat strategik untuk perniagaan F&B, terutama bagi kafe yang menitikberatkan kualiti makanan dan servis. Kami melihat potensi besar di sini, khususnya untuk pelanggan yang menghargai pengalaman menjamu selera yang premium tetapi santai,” katanya.

Beliau ditemui media selepas pelancaran restoran itu di Blok L, IOI Conezion, Persiaran IRC 3, IOI Resort City, Putrajaya.


Pizza A5 Wagyu yang mengiurkan menjadi menu pilihan pelanggan di BIENZ.

Selain Raffil, BIENZ turut diuruskan bersama dua beradik lain, Raffzan Jamir dan Razdan Fiqrul Jamir.

Cawangan di Putrajaya direka untuk menampung jumlah pelanggan yang lebih besar, sejajar dengan keperluan keluarga dan kumpulan besar.

Menerusi kapasiti sehingga 150 orang pada satu-satu masa, cawangan ini menawarkan ruang yang lebih luas, selesa serta sesuai untuk pelbagai acara daripada makan dan santai bersama keluarga hingga ke perjumpaan rasmi.

“Di cawangan pertama, kami melihat sambutan yang sangat menggalakkan. Justeru, di Putrajaya, fokus kami adalah untuk memberikan pengalaman yang sama dari segi kualiti makanan dan servis, tetapi dalam ruang yang lebih besar dan mesra keluarga,” ujar Raffil.

Selain pizza wagyu, hidangan lain seperti bolognese wagyu pasta, creamy buttermilk pasta serta tiramisu turut menjadi kegemaran ramai.

Mengulas mengenai harapan pembukaan cawangan ini, Raffil bersama adik-beradik serta ibu bapa mereka berharap dan optimis agar lebih ramai rakyat Malaysia mengenali dan mencuba sendiri menu-menu yang disediakan di Bienz.

“Kami percaya masih ramai yang belum pernah mencuba makanan dan minuman di BIENZ. Cawangan Putrajaya ini diharapkan dapat menarik perhatian penduduk sekitar untuk merasai sendiri keenakan menu kami,” katanya.

Melangkah ke depan, BIENZ komited untuk mengekalkan kualiti makanan dan perkhidmatan di semua cawangan sedia ada, selain merancang pembukaan outlet baharu di negeri-negeri lain.

“Insya-Allah kita akan mencari di bahagian Selatan. Kita akan keluar ke Selatan selepas ini, Insya-Allah,” ujar Raffzan.

Pada masa sama, BIENZ juga dalam perancangan untuk menambah variasi menu agar pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan pada tahun-tahun akan datang.

“Macam saya sendiri ada beberapa idea, cuma tak sempat nak R&D (penyelidikan dan pembangunan). Insya-ALLAH saya akan buat R&D. Namun tidak boleh bagi tahu awal, nanti tak surprise. Insya-ALLAH akan ada menu baharu,” Razdan Fiqrul.

Menerusi pembukaan cawangan kedua ini, BIENZ terus membuktikan komitmennya dalam menawarkan pengalaman F&B yang berkualiti tinggi, konsisten dan dekat di hati pelanggan.

Komen
Loading...