BFW 2025 “Fashion With Purpose” Tutup Tirai Dengan Penuh Gemilang
- oleh MDaily Editor
- 13 Oct 2025 11:25 pm

Borneo Fashion Week (BFW) 2025 menutup tirainya dengan penuh gemilang dan bergaya selepas dua hari berlangsung pada 10 dan 11 Oktober lalu di Pavilion Damansara Heights.
Bertemakan “Fashion With Purpose”, acara fesyen berprestij ini bukan sahaja meraikan keindahan dan glamor rekaan moden, tetapi turut menonjolkan nilai kelestarian, warisan budaya serta semangat komuniti kreatif yang menjadi nadi kepada Borneo.
Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, bekas ratu cantik dan personaliti fesyen berpengaruh, BFW terus membuktikan keupayaannya sebagai platform yang menyatukan pereka, model, artis dan pencinta fesyen di bawah visi bersama untuk memperjuangkan keindahan yang beretika dan beridentiti.
Menurut Stephanie Alcantara, kejayaan edisi kali ini membuktikan bahawa Borneo kini bukan lagi sekadar pemerhati dalam dunia fesyen, tetapi pemain penting yang membawa nilai dan keaslian tersendiri.
“Tahun ini adalah refleksi kepada impian kami untuk melihat fesyen bukan sekadar cantik, tetapi bermakna. Setiap helaian di BFW 2025 membawa mesej tentang kelestarian, warisan dan kasih kepada bumi serta budaya kita,” katanya.
Stephanie turut menambah bahawa kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa dedikasi semua pihak yang terlibat.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pereka, model, pasukan produksi, penaja dan rakan media yang telah menjayakan acara ini. Sokongan anda menjadikan BFW lebih daripada sekadar pertunjukan, ia adalah satu pergerakan,” ujarnya.
Dengan kehadiran penggiat industri antarabangsa, pempengaruh fesyen dan rakan media dari pelbagai negara, BFW 2025 berjaya mengangkat jenama tempatan ke pentas dunia, sekali gus meletakkan Borneo sebagai pusat fesyen baharu di rantau Asia.
“Kami akan terus bergerak ke hadapan. Borneo Fashion Week bukan lagi sekadar acara tahunan, ia adalah suara, jiwa dan identiti yang akan terus hidup,” katanya.
Stephanie turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ASEAN Fashion Designers Showcase (AFDS) yang diwakili pereka dari Brunei, Singapura, Vietnam dan Malaysia atas sokongan mereka terhadap BFW 2025.
Pertunjukan petang diteruskan dengan koleksi rekaan daripada Indra Murak, December Teo, Bianca, Saerah R. Kunjan dan Angelique, yang membawa penonton menelusuri pelbagai genre fesyen dari elegan moden hingga avant-garde etnik.
Malam kemuncak diserikan dengan BFW 2025 Awards Night, menampilkan persembahan tarian tradisional, penampilan artis jemputan dan pertunjukan fesyen oleh Calvin Thoo, Nasha Prive, Heritage Wear dan Yacutha.
Antara penerima anugerah utama ialah Green Thread Award dimenangi oleh Saerah R. Kunjan, BFW25 Most Promising Designer oleh Ocely, BFW25 Emerging Designer of The Year oleh Barzwang, BFW25 Designer of The Year oleh Nasha Prive, BFW25 Model of The Year (Female) oleh Rania, dan BFW25 Model of The Year (Male) oleh Ariq.
Kemeriahan BFW 2025 menjadi simbol kebangkitan industri fesyen Malaysia, khususnya dari Borneo, yang kini bersedia menembusi pasaran global.