Bey Kelik Laa Bey: Baby Shima Sahut Cabaran Rakam Single Dialek Kelantan
- oleh MDaily Editor
- 1 Jan 2026 9:04 pm
Selepas sering tampil dengan pelbagai gimik dan genre muzik, penyanyi popular Baby Shima kini mengukuhkan kedudukannya dalam industri seni tempatan dengan mempertaruhkan single sulung dalam dialek Kelantan berjudul Bey Kelik Laa Bey.
Pelancaran lagu ini menandakan sejarah peribadi buat Shima apabila buat pertama kalinya beliau merakamkan sebuah naskhah sepenuhnya dalam dialek Pantai Timur tersebut.
Menurut Shima, idea untuk menghasilkan lagu berkenaan tercetus daripada permintaan luar biasa peminat di media sosial yang ingin melihatnya mencabar diri menyanyi dalam loghat Kelantan.
”Ceritanya ringkas, ramai orang Kelantan selalu tinggalkan komen meminta saya menyanyi dalam bahasa mereka. Lama-kelamaan saya terpengaruh kerana dialek Kelantan mempunyai keunikan tersendiri. Walaupun orang tengah marah, bunyinya tetap kedengaran comel,” katanya.
Mengulas mengenai proses rakaman, Shima mengakui tempoh seminggu diperuntukkan bagi memantapkan sebutan agar kedengaran asli. Malah, beliau sempat berkongsi pengalaman lucu apabila sering tersasul dan terkeluar loghat asalnya semasa berada di dalam studio.
”Paling kelakar, bila lapar sahaja sebutan saya mula lari. Tapi selepas makan budu, terus ‘elok’ balik dialek Kelantan saya. Ia seperti ubat segera untuk saya kembali menjiwai lagu tersebut,” selorohnya.

Bey Kelik Laa Bey merupakan ciptaan komposer tersohor yang sinonim dengan lagu-lagu dialek, Eddie Hamid, manakala liriknya digarap bersama oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju, dan Te Ha.
Menyifatkan Eddie sebagai seorang guru yang penyabar, Shima bersyukur kerana komposer tersebut sangat tenang sepanjang membimbingnya dalam studio walaupun beliau sering melakukan kesilapan sebutan.
”Abang Eddie sangat cool dan tidak garang. Beliau sudah lali dengan perangai saya yang suka berjenaka di dalam studio,” tambahnya lagi.
Kisah Harapan Palsu
Lagu terbitan Kijang Music dengan edaran Nova Music ini membawa naratif pilu mengenai perasaan seorang wanita yang merindui kekasihnya selepas dikecewakan dengan janji-janji kosong. Ia merupakan rayuan hati seorang insan yang menanti kepulangan pasangannya yang telah menghilangkan diri.
Para peminat boleh mula melayari dan menstrim Bey Kelik Laa Bey di semua platform digital bermula 31 Disember 2025, manakala video muzik rasminya akan ditayangkan pada jam 8 malam hari yang sama di saluran YouTube Kijang Music.




