Beto Kusyairy Kembali Sebagai ADMAR, Selami Sisi Gelap CID Dalam Gayong 2
- oleh MDaily Editor
- 13 Mar 2026 4:11 pm
Selepas mencetuskan fenomena menerusi naskhah pertama tahun lalu, pelakon berkaliber, Beto Kusyairy kembali menyarung persalinan Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dalam sekuel yang lebih mencabar, Gayong 2.
Filem terbitan SOL Pictures Sdn Bhd itu kali ini tidak hanya memaparkan kehebatan seni silat, sebaliknya membawa penonton menyelami fasa hidup ADMAR yang lebih gelap dan kompleks sebagai pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Singapura.
Penerbit Eksekutifnya, Khairul Anuar Latip, berkata naskhah arahan Faisal Ishak ini memaparkan perjalanan ADMAR dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British pasca Perang Dunia Kedua.

“Filem ini masih berpaksikan kepada kehidupan sebenar ADMAR, khususnya nilai, prinsip, dan pilihan hidup beliau. Namun, ia dipersembahkan dalam pendekatan dramatik dan sinematik.
“Ia bukan dokumentari, tetapi sebuah karya yang mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Berlatar belakangkan suasana Tanah Melayu yang bergolak dari dalam, Gayong 2 menyelami dilema moral seorang lelaki yang memegang prinsip membanteras jenayah kongsi gelap dan rasuah, meskipun terpaksa berhadapan pengkhianatan dalam sistem.
Sementara itu, Faisal Ishak selaku pengarah menjelaskan bahawa sekuel ini merupakan kesinambungan warisan yang mengangkat isu berat seperti gangsterisme dan penyalahgunaan kuasa.
“Jika filem pertama lebih menjurus kepada memperkenalkan dunia persilatan, Gayong 2 pula menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan maruah.
“Ia bukan sekadar aksi, tetapi tentang identiti. Dengan naratif lebih matang dan konflik tajam, kami mahu penonton pulang dengan rasa bangga terhadap warisan kita,” jelasnya.
Menariknya, naskhah kali ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, Fauzie Laily, Bobby Tonelli, dan Rabbit Chen.
Malah, ia turut menyertakan penampilan sulung Miss Malaysia 2024, Sandra Lim dalam naskhah epik Melayu yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Ipoh, Perak.
Nantikan kebangkitan pahlawan dan pertembungan prinsip dalam Gayong 2 yang bakal menggegarkan layar perak di seluruh negara bermula 9 April 2026.




