Ikuti Kami:

Beto Kusyairy Hidupkan Semangat ADMAR dalam Filem Gayong

Beto Kusyairy Hidupkan Semangat ADMAR dalam Filem Gayong

Pelakon berbakat besar, Beto Kusyairy sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila dipilih untuk menghidupkan watak utama dalam filem aksi tempatan terbaharu bertajuk GAYONG, yang diinspirasikan daripada semangat dan perjuangan Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman (ADMAR), pengasas silat seni Gayong Malaysia.

Filem terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd dengan kerjasama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) ini mengisahkan perjalanan hidup ADMAR yang mempertahankan maruah bangsa di gelanggang pertandingan dan kemudian bangkit untuk mempertahankan tanah air ketika diancam penjajah.

Menurut Beto, menghayati watak ADMAR bukanlah sesuatu yang mudah walaupun beliau telah menjadi ‘anak’ GAYONG sejak berusia tujuh tahun.

Bagi memastikan penghayatannya tepat, beliau menjalani persiapan intensif termasuk bertemu dengan beberapa guru silat yang pernah berguru secara langsung di bawah bimbingan ADMAR, antaranya Pandak Majid, Ayahanda Majid Mat Isa, Cikgu Awang Daud, dan Cikgu Sazali, yang juga merupakan anak kepada ADMAR sendiri.

“Pertemuan ini memberikan saya perspektif tentang siapa arwah sebenarnya dan semangat yang beliau perjuangkan,” katanya kepada media di Malam Gala GAYONG di GSC Mid Valley Kuala Lumpur pada Selasa.

Beto atau nama penuh Nur Kusyairy Zakuan bin Osman, 45, turut menjelaskan bahawa tujuannya bukan untuk meniru sepenuhnya tokoh tersebut, tetapi untuk menyampaikan semangat perjuangannya dalam konteks filem.

“Kami tidak cuba meniru ADMAR sepenuhnya kerana itu mustahil. Sebaliknya, saya menjiwai watak ini dengan interpretasi sendiri berdasarkan skrip dan keperluan cerita. Fokus saya adalah untuk menyalurkan semangat perjuangan beliau melalui lakonan,” tambahnya.

Pengarah GAYONG, Faisal Ishak, menyatakan bahawa pemilihan pelakon dilakukan dengan sangat teliti bagi memastikan karakter yang ditampilkan adalah asli dan tepat.

“Saya sangat teliti dalam pemilihan pelakon, terutamanya untuk watak-watak yang melibatkan seni bela diri seperti Muay Thai dan Silat. Saya mahu memastikan setiap pelakon yang dipilih benar-benar memahami dan menghayati seni tersebut,” ujarnya.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, memaklumkan bahawa pihak produksi telah mendapat kebenaran rasmi daripada keluarga ADMAR, termasuk anaknya, Hajah Fadzilah, dan cucu Zubaidah Hussin, sebelum memulakan penggambaran.

“Kami juga menjalankan penyelidikan sejak Disember 2023 dengan mendapatkan pandangan daripada pakar dan tokoh silat yang pernah bersama ADMAR untuk memastikan filem ini tepat dari segi budaya, falsafah, dan teknik persilatan,” jelas Khairul Anuar.

Selain Beto, Malam Gala GAYONG turut diserikan dengan kehadiran Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian, serta barisan pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan naskhah ini.

Filem ini dijangka akan menemui penonton pada 8 Mei 2025 di pawagam seluruh Malaysia.

Komen
Loading...