Beto Kusyairi dan Diana Danielle Tercalon Top 5 FFM33 Menerusi Filem Imaginur
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Pelakon utama filem Imaginur, Beto Kusyairi dan Diana Danielle, melakar pencapaian membanggakan apabila masing-masing tercalon dalam Top 5 kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Beto Kusyairi, yang membawakan watak Zuhal dalam filem arahan Nik Amir Mustapha itu, menyifatkan pencalonan ini sebagai pengiktirafan terhadap usaha bersama seluruh pasukan produksi.
“Pencalonan ini bukan hanya untuk saya tetapi untuk semua yang terlibat dalam menjayakan filem Imaginur. Ia adalah hasil kerja keras, komitmen luar biasa, dan semangat kerjasama yang tinggi. Ini memberi motivasi untuk terus berkarya dan menghasilkan cerita yang berkualiti serta memberi impak kepada penonton,” kata Beto.
Diana Danielle, yang membawa watak Nur dalam filem yang sama, turut berkongsi rasa terharu atas pengiktirafan ini.
“Saya amat bersyukur dengan pencalonan ini. Imaginur adalah projek yang sangat bermakna bagi saya. Terima kasih kepada pengarah, rakan pelakon, dan seluruh pasukan produksi yang menjadikan pengalaman ini begitu istimewa. Saya juga berterima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan padu,” ujar Diana.
Beto dan Diana turut berharap pencalonan mereka akan membuka mata ramai pihak terhadap potensi filem Imaginur yang mengangkat tema psikologi dan emosi dalam bentuk naratif kompleks.
“Filem ini dihasilkan dengan penuh kejujuran dan dedikasi. Saya percaya semangat kerjasama yang kami bangunkan akan terus mencipta karya luar biasa pada masa akan datang,” tambah Beto.
“Setiap kata-kata sokongan daripada peminat memberikan saya semangat untuk terus memberi yang terbaik dalam setiap projek. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” kata Diana lagi.
Festival Filem Malaysia ke-33 akan berlangsung pada 7 Disember ini, dengan persaingan sengit daripada pelakon dan produksi hebat lain.
Selain pencalonan Beto dan Diana, Imaginur turut dicalonkan dalam beberapa kategori lain, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara filem terbaik di Malaysia tahun ini.