Bertunang Dengan Jejaka Malaysia, Wanita Australia Peluk Islam Selepas Main “Game Online”
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Seorang wanita dari Australia, Zahra Fielding tidak menyangka bermain permainan dalam talian membawanya kepada Islam.
Dia yang pada mulanya hanya bermain permainan tersebut kerana rasa ingin tahu akhir membawanya kepada satu episod kehidupan yang lain.
“Saya melihat satu iklan [permainan dalam talian] di Facebook, yang pada pendapat saya tidak berada di tempat yang tepat,” kata Zahra, yang menganggap iklan itu seksis.
Permainan dalam talian yang disertai oleh Zahra adalah ‘Game of Sultans’, yang merupakan simulasi permainan dalam membentuk sebuah kerajaan. Setelah mula bermain, ternyata apa yang dia fikirkan sebelum ini meleset. Permainan itu tidak seksi, malah memberi kesan pada kehidupannya.
“Permainan ini hadir pada saat-saat terpenting dalam hidup saya. Sebelumnya saya merasa kesepian dan tidak mempunyai arah. Saya tidak merasa bangga dengan karier, atau kehidupan peribadi saya dan sudah lama membujang.”
Dalam ‘permainan’ yang melibatkan kerja berpasukan untuk menewaskan musuh, Zahra bertemu dengan sekumpulan lima pemain wanita lain dari Australia dan Asia.
”Dalam permainan ini, saya bertemu sekumpulan orang dari pelbagai negara yang mungkin tidak pernah saya temui,” kata Zahra kepada ABC.Net.
Salah seorang pemain dalam kumpulan Zahra ialah Kim Assikin, seorang wanita dari Singapura yang beragama Islam.
”Ketika kami mulai bertukar khabar, saya segera merasa selesa untuk berbicara dengannya. Saya tidak tahu mengapa dan bagaimana, tetapi kami benar-benar rapat,” katanya.
Sejak awal tahun ini, Zahra banyak menghabiskan masa beribadah di Masjid Kuraby yang terletak di Brisbane, di mana Masjid ini telah menjadi saksi bagaimana dia mengucapkan kalimah syahadah sebagai tanda memeluk agama Islam.
Tambah Zahra lagi, dia sebenarnya tidak pernah menukar agama, tetapi sebenarnya kembali kepada agama kerana bagi dia, setiap orang sebenarnya dilahirkan sebagai seorang Muslim.
Zahra kini sudah bertunang, dengan seorang lelaki dari Malaysia yang bekerja sebagai penyunting kandungan digital. Pertemuan mereka terjadi di dalam aplikasi mencari jodoh.
“Tunang saya bertugas menyunting kandungan digital dalam organisasi [Muslim] di Kuala Lumpur. Dia mengatakan bahawa dia sangat berminat dengan kisah saya dan ingin mengetahui proses mencari Islam,” katanya.
“Setelah beberapa hari berbual, saya akhirnya berfikir ‘ok, saya ingin mencuba dan menjaga hubungan ini dengan lebih halal. [Tetapi] bagaimana mahu melakukannya jika dia tinggal di Malaysia dan saya di Australia?”
Bagi Zahra dan pasangan, jarak bukanlah halangan. Melalui panggilan video, mereka saling mengenali satu sama lain. Apabila penutupan sempadan Australia ditarik nanti, Zahra merancang untuk segera berpindah ke Malaysia untuk berkahwin dengan tunangnya.
Sumber : ABC Net