Bernadya ‘Masuk Medan’ PUBG MOBILE, Tampil Dengan MV Eksklusif & Pek Suara Istimewa
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Penyanyi muda Indonesia yang sedang meningkat naik, Bernadya, kini ‘masuk medan’ dunia permainan apabila tampil buat pertama kali dalam kolaborasi bersama PUBG MOBILE, permainan mudah alih popular yang terkenal dengan kerjasama kreatifnya di seluruh dunia.
Kolaborasi ini memperlihatkan penyanyi lagu “Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan” itu bukan sekadar peminat permainan tersebut, malah kini menjadi sebahagian daripada pengalaman dalam permainan melalui muzik video (MV) eksklusif serta Pek Suara khas yang menampilkan suaranya sendiri.
MV eksklusif bagi lagu berkenaan kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PUBG MOBILE Indonesia, manakala Pek Suara Bernadya boleh dimiliki pemain dalam permainan sehingga 7 Julai 2025, hanya dengan 1 Ocean Crystal.
Pek ini membolehkan pemain mendengar suara unik dan merdu Bernadya ketika bermain, satu sentuhan peribadi yang membawa kelainan.
Bagi Bernadya, kerjasama ini satu langkah yang cukup istimewa dan mendebarkan.
“Sangat mengujakan, ini merupakan pengalaman baharu bagi saya. Biasanya saya hanya bermain PUBG MOBILE di telefon bimbit, tapi kali ini rasa seperti saya benar-benar masuk ke dalam permainan, memang seronok sangat!” katanya.
Menambah keterujaan lagi, Bernadya turut akan mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia sebagai lanjutan kolaborasi dengan PUBG MOBILE selepas kejayaan konsertnya di Jakarta.
Konsert tersebut bakal berlangsung di dua lokasi: Zepp KL pada 13 Julai 2025 dan Dewan KDCA, Kota Kinabalu pada 19 Julai 2025.
Malah, PUBG MOBILE turut menjanjikan kejutan istimewa buat komuniti pemainnya dengan pemberian tiket eksklusif melalui laman media sosial rasmi mereka.
Kolaborasi ini juga menyambung legasi PUBG MOBILE bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Alan Walker, BLACKPINK dan BABYMONSTER, serta selebriti tempatan seperti MASDO, Mechamato, Polis Evo 3 dan Boboiboy.
Jangan lepaskan peluang untuk alami kandungan eksklusif ini sebelum ia tamat. Muat turun PUBG MOBILE secara percuma di App Store atau Google Play Store dan alami sendiri bagaimana suara Bernadya menghidupkan pertempuran anda.