Ikuti Kami:

“Berakhir Kita” Dicipta Untuk Jiwa Jiwa Yang Pernah Terluka – Syamel

“Berakhir Kita” Dicipta Untuk Jiwa Jiwa Yang Pernah Terluka – Syamel

Penyanyi bersuara lantang, Syamel, kembali dengan sebuah karya yang penuh emosi dan dekat dengan hati mereka yang pernah merasai luka cinta yang tidak kesampaian.

Diterbitkan oleh Omar K dan dicipta bersama Shazriq Azeman, lagu balada ini menjadi simbol perasaan kecewa dan kehilangan, namun dalam masa yang sama memberikan ruang untuk pendengar mencari ketenangan dalam meluahkan emosi.

Bagi Syamel, pengalaman menghasilkan lagu ini amat menyentuh perasaannya, lebih-lebih lagi apabila beliau diberi kebebasan oleh penerbit untuk menjiwai dan menyampaikan lagu tersebut mengikut caranya sendiri.

“Mereka sentiasa memberikan tenaga yang positif dan kebebasan untuk saya mengolah lagu ini mengikut keselesaan nyanyian saya. Itu membuatkan proses rakaman menjadi lebih selesa dan bermakna.”

“Saya berharap lagu ini akan melekat di hati pendengar, dan mereka dapat mengaitkannya dengan kisah hidup mereka sendiri,” katanya.

Lebih menarik, Berakhir Kita turut diangkat sebagai runut bunyi kepada sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Paparan visual yang menyentuh perasaan itu akan memperkukuh lagi jalan cerita lagu dan menyampaikan mesej cinta yang tak kesampaian dengan lebih berkesan.

“Hayatilah lirik dan melodi lagu ini yang, bagi saya, cukup sedih dan menyayat hati. Ditambah pula dengan babak babak dalam drama tersebut, saya percaya ia akan memberikan impak yang lebih mendalam kepada para pendengar.” katanya.

Berakhir Kita merupakan hasil usaha sama antara Universal Music Malaysia, Maison Management dan Global Keynote Sdn Bhd, yang turut menerima sokongan padu daripada seluruh pasukan produksi.

“Ramai individu telah memainkan peranan dalam menjayakan lagu ini. Semua bergerak seiring dan memberikan kerjasama yang amat positif sepanjang proses penghasilan.” ujarnya.

Bagi Syamel, lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga bentuk luahan emosi buat mereka yang pernah terluka dan kini cuba untuk memahami serta menerima takdir cinta yang tidak kesampaian.

“Berakhir Kita adalah untuk mereka yang pernah mencintai namun tidak memiliki. Semoga ia menjadi lagu yang memberi kekuatan dan ketenangan.” katanya.

Lagu Berakhir Kita kini boleh distrim di semua platform digital bermula hari ini, 6 Ogos 2025.

Komen
Loading...