Ikuti Kami:

“Benar Indah”: Lagu Cinta Dari Kai Deva

“Benar Indah”: Lagu Cinta Dari Kai Deva

Penyanyi muda berbakat, Kai Deva, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Benar Indah.

Lagu berentak pop balada dengan suntikan elemen rock moden ini diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia bersama Alternate Records, menampilkan sentuhan kreatif komposer terkenal, Firdaus Rahmat.

Selepas meraih perhatian ramai menerusi program realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dan bergelar naib juara, Kai Deva kini tampil dengan karya yang lebih matang serta sarat emosi.

Menurutnya, Benar Indah membawa maksud cinta yang hadir secara sederhana dan ikhlas, tanpa perlu dipaksa atau dibuat-buat.

“Lagu ini tentang perasaan yang datang secara jujur apabila kita bertemu seseorang yang membuat hidup terasa lebih bermakna. Saya tidak cuba menjadi sempurna, saya hanya hendak jadi jujur dalam penyampaian,” katanya.

Karya ciptaan Firdaus Rahmat itu turut menekankan tema keikhlasan dan kesederhanaan dalam percintaan, selari dengan vokal lembut namun bertenaga yang menjadi identiti Kai Deva.

Firdaus berkata, inspirasi lagu ini lahir daripada melodi berjiwa dari rantau Nusantara yang menonjolkan emosi tulus sebagai teras utama.

“Lirik ‘Kasihmu lengkapi aku, cintaku benar indah’ adalah nadi kepada lagu ini. Ia menggambarkan cinta yang saling melengkapi, hadir bukan untuk mendominasi, tetapi untuk berada di sisi,” jelasnya.

Benar Indah dianggap sebagai fasa baharu dalam perjalanan seni Kai, yang kini memberi fokus kepada karya lebih emosional dan mendalam.

Beliau berharap lagu itu mampu membawa ketenangan kepada pendengar dan menyentuh hati sesiapa yang sedang memahami makna cinta yang ikhlas.

Single Benar Indah kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.

Komen
Loading...