Ben Amir, Nas-T, Henley Hii Terajui Legasi: Bomba The Movie
- oleh Mohd Indera
- 19 Aug 2025 12:36 pm

Barisan pelakon popular tanah air, Ben Amir, Nas-T dan Henley Hii muncul sebagai teraju utama dalam filem aksi berskala besar LEGASI: BOMBA THE MOVIE yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 21 Ogos ini.
Filem arahan James Lee dan Frank See ini mengetengahkan kisah Amir, seorang anggota elit Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) yang dihantui trauma silam, serta perjuangan anggota bomba ketika berdepan bencana, termasuk misi penyelamatan di menara pencakar langit TEXVIN 118 yang terbakar.
Menurut penerbit Multimedia Entertainment, Keoh Chee Ang, penghasilan filem ini mengambil masa hampir dua tahun melibatkan proses penggambaran dan pasca produksi.
“Skala Legasi berbeza dengan filem aksi lain kerana ia menampilkan operasi penyelamatan yang dramatik dan realistik. Filem ini dihasilkan bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai penghormatan kepada wira-wira api negara,” katanya.
Pengarah bersama, Frank See, pula menyifatkan Legasi antara projek paling mencabar pernah dikendalikannya kerana 70 peratus adegan menuntut penggunaan teknologi CGI selain pembinaan model fizikal berskala besar.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, hasilnya Legasi tampil berbeza dengan gabungan aksi dan emosi yang mampu memberi pengalaman sinematik baharu kepada penonton,” katanya.
Pelakon utama Ben Amir berkata, cabaran yang digalas bukan sahaja dari segi fizikal, malah menuntut penghayatan emosi yang mendalam.
“Awalnya saya bimbang sama ada kita mampu hasilkan filem ini kerana ia tentang melawan bencana api, bukan musuh. Namun selepas melihat hasil akhir, saya cukup bangga. Ini antara projek paling bermakna dalam karier saya,” jelasnya.
Bagi Nas-T, pengalaman latihan dan memakai peralatan bomba yang mencabar menjadikan lakonan mereka lebih meyakinkan.
“Dari sesi latihan hingga ke set penggambaran, kami benar-benar membentuk ikatan sesama pelakon. Peralatan bomba yang berat dan panas membuatkan kami lebih memahami realiti tugas anggota bomba,” katanya.
Sementara itu, Henley Hii turut berkongsi pengalaman mengikuti latihan ketat di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Terengganu.
“Latihan di sana membuka mata saya tentang pengorbanan abang-abang bomba sebenar. Saya berharap filem ini memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih menghargai profesion ini,” ujarnya.
Selain tiga pelakon utama, filem ini turut menampilkan Ammar Alfian (Razak), Mathni Razak (Shafiq), Fad Anuar (Hisham), Sasidaran (Sanjay) dan Abbas Mahmood (Fahmi).
Majlis tayangan gala rasmi berlangsung meriah malam tadi di IOI City Mall, Putrajaya, dengan kehadiran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, Timbalan Menteri YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Ketua Pengarah JBPM, barisan pelakon, penaja serta rakan media.
LEGASI: BOMBA THE MOVIE merupakan hasil kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JBPM, Multimedia Entertainment, GSC, Astro, Six Fun dan Honor, dengan sokongan penaja utama CUCKOO, penaja bersama Kinohimitsu, serta FINAS sebagai penyokong rasmi.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Ogos 2025.