Bella Astillah Pilih Move On, Dedah Aliff Aziz Tidak Hubungi Anak-Anak Sejak Cerai
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan bahawa bekas suaminya, Aliff Aziz, tidak pernah menghubungi atau bertanyakan khabar mengenai anak-anak mereka sejak perceraian pada 13 Jun lalu.
Menurut Bella, meskipun keadaan ini berlarutan, dia memilih untuk tidak mempertikaikan tindakan Aliff dan merasakan lebih baik jika mereka tidak berinteraksi.
“Kalau boleh, saya tidak mahu ulas tentang Aliff lagi. Sejak kes perceraian, tiada mesej atau DM daripada dia,” kata Bella, yang lebih selesa menjalani kehidupan tanpa sebarang hubungan dengan bekas suaminya.
Bella, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, ditemui di majlis pelancaran lagu baharunya, Tapi Bukan Denganmu yang berlangsung di TRX pada Jumaat.
Dia turut berkongsi bahawa dua anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna, tidak pernah bertanya atau mencari keberadaan bapa mereka. Bella juga menekankan bahawa dia kini bahagia dengan kehidupannya dan hanya mendoakan yang terbaik buat Aliff.
“Anak-anak tidak mencari ayah mereka, alhamdulillah. Saya lebih bimbang jika mereka terfikir perkara yang tidak baik, tapi buat masa ini mereka fokus pada pelajaran,” ujar Bella.
Walaupun tidak mengikuti perkembangan Aliff dan keluarganya, Bella memilih untuk menjalani hidup yang lebih tenang dan tidak menginginkan sebarang konflik.
“Saya gembira dia ada kehidupan sendiri, dan saya tidak pernah mendoakan yang tidak baik untuk dia. Semoga kami berdua boleh meneruskan kehidupan dengan baik,” tambahnya lagi.
Menyentuh kehidupan kini, Bella mengakui tidak mudah untuk melupakan peristiwa hitam dalam perkahwinannya selama 12 tahun, tetapi dengan sokongan keluarga dan anak-anak, dia yakin akan tiba masanya dia dapat ‘move on’.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, namun perkahwinan mereka akhirnya terlerai pada Jun lalu.